Friday, April 28, 2006

Kg Indah - Episod wad 8A

Wad 8A Hospital Besar masih dipenuhi orang orang Kg Indah walau pun waktu melawat telah berlalu 10 minit yg lalu. Sudah dua tiga kali Minachi yang terlekap tiga paku di bahunya dan cota berkilat di pinggangnya mundar mandir di depan pintu wad. Buah limau, epal dan nasi di dalam tuppaware bertingkat memenuhi meja kecil di tepi katil Kudus.

Sebelah kaki Kudus tergantung. Tangan kanannya bermula dari pangkal siku berbalut hingga ke hujung jari. Calar calar di telinganya juga masih kelihatan kemerahan. Tapa Lempeng adalah orang paling hampir duduk disisi Kudus. Matanya ruyup dan misainya yang keras kelihatan mengendur. Ada palit kedukaan yg terpantul dari rebeh wajahnya. Begitu juga Mak Som, sekejap sekejap membawa hujung kain tudungnya ke arah kedua dua biji matanya. Ada genang basah mengairi parit parit kelopak retinanya. Long juga ada, Sukiman bersandar di dinding wad bercakap berbisik bisik dengan Leman Gomok. Mat Noh dengan isteri Jailatun berdiri dibelakang Mak Som. Selang sebuah katil dari katil Kudus, seorang remaja lelaki yang juga tergantung kaki kanannya mengenyit-ngenyit mata pada Tipah anakdara Long, Tipah tersipu sipu menjentik jentik jarinya ke tudung bawal yang di pakainya.

"Manaaa Taapaaaa...". Itulah letus suara pertama Kudus petang itu.
"Sini Pak Kudus, sini..sini!" Tapa segera memegang tangankiri Kudus, dia menarik kerusi sedikit supaya lebih hampir kepada Kudus.
"adaa orangg pantauu buldozerrr, Taapaaa?".
"Jangan risau Pak Kudus, Malik, Jalal, Embong ada depan surau". Jawab Tapa Lempeng bersungguh ungguh.
"bagusss...."Lemah benar suara Kudus, Sukiman dan Leman Gomok juga datang hampir ke belakang Long Kadir. Sekali lagi Minachi tiga paku di bahu berdiri di pintu wad.

Kudus patah tangan dan kaki kanannya di hempap tiang elektrik yang di langgar oleh lori cement yang rosak breknya. Motornya ranap. Dia dibawa orang ke Hospital Swasta Aman Permai pada mulanya tetapi tidak dibenarkan masuk oleh pekerja hospital tersebut kerana tiada insuran atau penjamin. Hospital untuk orang orang kaya itu membiarkan sahaja Kudus terbujur pengsan di dalam teksi Logan. Akhirnya Logan bersegera membawa Kudus ke Hospital Besar dan terus masuk wad, 3 batang besi akan dimasukkan ke dalam betis Kudus untuk mengikat tulangnya yang patah.

Logan habis RM 185 menukar sarung kusyen belakang teksinya yang berlumuran darah.
"tidak apa lah aci..saya tak mau duit, kita sama sama olang susah, sekarang saya tolong Kudus, nanti saya susah orang lain pula tolong saya" kata Logan pada Mak Cik Nab ketika Mak Cik Nab menghulurkan Rm kepada Logan.

Ketika itu hari sudah begitu larut petang, bila bila sahaja siang akan di tutup dan azan magrib akan berkumandang. Dari tingkat 8 wad Hospital Besar sayup sayup terlihat menara Hospital Aman Permai, kemilau lampu neon birunya jatuh ke cermin besar tingkap wad 8A Hospital Besar. Kudus masih terlelap.

Pagi itu selepas mengelap muka dan badan Kudus, Mak Nab menyuapkan roti dan sedikit nasi ke mulut Kudus, belum sempat Kudus mengunyahnya teleponnya berdering..dering sms..dari Long Kadir berbunyi " aslmkm..Pk Kdus, ada bnyak lori bsar dan jntolak di jln bsar dpan srau..". "Apa?" Kudus terkejut,ulas ulas nasi tersembur keluar dari mulutnya, dia memandang isterinya, "Nab..aku..aku.................."

tiba tiba angin mnyerbu masuk ke tingkap wad 8A. Fail rawatan di hujung katil Kudus teroleng oleng kekiri dan kekanan.


p/s: banyak lori depan surau? ;) , tunggguuuuuu episod akan datang, Bunga Rampai, sabar je lah..:)

Thursday, April 27, 2006

Kampung Indah - Episod air mata Kudus

Notis di mana mana. Di pokok rambai sebelah surau. Di dinding surau. Di tiang letrik. Di dinding jamban Wak Karno. Di dinding balairaya usang. Di dinding dapur warung Mak Som.

"gila, kalau boleh ditampalkannya ke dahi aku ni, mau ditampalnya, tapi langkah mayat aku dulu". Kata Tapa Lempeng sambil meneguk tea tarik di warung Mak Som pagi itu. Matahari bangun dengan cerianya, seperti biasa pantul sinar dinding KLCC nun sayup sayup jatuh ke deretan atap atap zink usang rumah penduduk Kampung Indah. Embun di hujung rumput perlahan lahan melerai. Tipikal pagi di Kg Melayu kelas bawah berulang dan kembali hidup dengan bunyi letus enjin motosikal Yamaha..pet..pet..pet..pet Kulub Hussien hilang di telan jalan besar depan surau.

Ini notis suruh pindah ke lapan penguasa kepada penduduk Kg Indah. Setiap nama yg tersenarai ( hasil banci penduduk 2001 ) berhak menerima RM 800, membeli rumah flat kos rendah Lembah Ketubi dengan potongan harga RM 6000 dan lori pindah percuma.

"Apa lagi mahu kamu semua ini Kudus?"soal YB Tukimin kepada Kudus lewat perjumpaan mereka di tingkat 18, Wisma Datuk Giladuit beberapa hari lalu. "kamu tahu kan negeri mahu setinggan sifar..sifar bermakna kosong Kudus, takdak lagi dah rumah2 buruk dan compak campeng, semua mahu cantik, tersusun, bersih, tolong Kudus bagaitau semua orang Kg Indah".

Weng..weng..weng putaran kata kata YB Tukimin berdesing desing ke telinga Kudus,..rumah2 buruk..compak campeng..kotor..hitam..memalukan...di dalam lift untuk turun dari tingkat 18 Wisma Datuk Giladuit airmata Kudus tidak dapat ditahan tahan..dari meleleh sahaja sekarang sudah menjurai. Jatuh hingga ke lantai Lift..puluhan tahun menyokong PMA untuk sehelai surat bernama geran tanah namun hampa..malah dikata bermacam macam pula, busuk, buruk, kotor...airmata Kudus terus turun kini bagai lelehan dari pancuran atap ketika musim hujan bulan duabelas. Keluar dari lift semua orang sudah kelihatan amat asing, bagai dirinya sahaja berjalan, dikiri kanan alam terbius. Pijar matahari tengahari bulan January itu bagai ketawa berdekah dekah..hahahahaha..Kudus..hahahahaha..Kudus.

Kudus menyarung helmetnya tergesa gesa, motornya tersendut sendut memacu keluar dari Jalan Ah Teng. Ketika itu juga sebuah lori cement yang rosak breknya meluru ke arah Kudus..Kudus...............


:).....apakah yg akan terjadi kepada Kudus? ikuti paparanya pada minggu hadapan.


p/s : Bunga Rampai, jangan marah ye.

Sunday, April 23, 2006

berita berita semasa.

1. AlFatihah buat Tun Ghaffar Baba.

2. Berita baik buat marhaen : kadar inflasi di ramal mengembang sehingga 4.8%, kepada Busu Manap, Kak Jem dan Jalal Posmen Tua, kalau gaji anda naik 3% tahun ini makanya anda semakin hari semakin miskin. Cepat buat MLM. Jual susu ECG ke seperti orang dok heboh la ni..:)

3. Lawo pulak akak akak polis pakai uniform baru. Tahniah pada Bakri.

4. Atok aku yg bernama Mahat ( bekas imam ) kata beliau punya "moral duty" untuk melaporkan khabar angin Mek berkhalwat. Kemudian orang pakat pakat "tangkap basah" mek. Kemudian memang tak ada jantan yg bersekedudukan dgn mek. Sah. Tapi atok aku tetap juga dok habaq mai Mek berkhalwat. entah....sewel betul.

5. Kepada Keng : kemek sukak manok masak merah...:) ( manok yg sihat dan tidak berselsema).

6. Ada budak budak yg menangis kerana bapa mereka di ambil orang. Orang tu kata bapa budak budak tu jahat tapi tak buktikan pulak di mahkamah. Kesian aku kat budak budak tu. Sob sob sob, kalaulah ayah aku di ambil orang sebegitu....sob sob sob.

7. Kepada Sayuti : Tadi aku lalu kat simpang tu, budak budak lelaki perempuan duduk ramai ramai atas skuter, mereka hisap rokok dan bertepuk tampar macam muhrim je...aku fikir, mak bapak diaorang tak marah ke?, macamana nak buat ni Yut?

8. Ehh korang dok lepak2 baca blog ni.....income tax dah hantar? aku belommmm.


p/s: aku nak tengok2 borang LHDN ni dulu.

Saturday, April 15, 2006

Belasungkawa kepada sahabatku Mohammad Yusof.

Tidak akan dapat bertangguh barang sesaat pun. Kalau sudah sampai masanya, harus rela dan tidak lagi dapat berbuat apa apa, walau untuk mengucapkan selamat tinggal pada anak kecil atau mencium dahi isteri. Angin akan bertiup longlai dan alam bagai terbius. Burung burung menghilang dan awan berhenti berkembang. Pohon pohon membisu dan daun daun kuning tertangguh untuk gugur.

Ketika sore itu iseng iseng berlabuh maka ketika itu sahabatku Mohd Yusof pergi dan meninggalkan ruang dunia ini. Pergi dengan tiba tiba bagaikan suaranya masih bergetar dan tawanya masih bersimponggang. Sekelip hilang dan kemudian kami tak akan ketemu lagi dia. Dia telah pergi begitu jauh. Dia telah tidur sepi di sudut kuburnya. Nesan 2005 D, Tanah Perkuburan Shah Alam.

"Apa sahaja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorangpun yang dapat menahannya; dan apa sahaja yang ditahan oleh Allah maka tidak seorangpun yang sanggup melepaskannya sesudah itu. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (Surah Faathir: Ayat 2)

Pergilah Yusof, kerana atas sayang Allah padamu maka Dia mengambil engkau, tinggallah anak isterimu, tinggallah kami, tinggallah segala harta, rungkailah segala ikatan namun persahabatan dan kasih sayang kan tetap tertulis menjadi album kenang kenangan.

Kami mengucapkan sedalam dalam belasungkawa, muga Allah mencucuri rahmat keatas rohmu dan di tempatkan di dalam golongan orang orang yang beriman. Alfatihah.

Wednesday, April 12, 2006

Kg Indah - Orang orang terkucil.

Busu Manap terkucap kucap mengunyah cekodok bilis Mak Som. Beberapa pagi yang lalu sama juga dengan pagi ini, hujan setitik setitik bertaburan jatuh. Nun jauh kelihatan puncak KLCC bungkam dingin. September yang membawa ke pertengahan ini di selangselikan dengan sehelai sehelai angin semilir dan tabrak rintik rintik hujan membasahi kolong rumah rumah uzur orang orang kecil Kampung Indah. Awan terlukis dengan warna kelabu terlihat cuma bagai gabus gabus yang tidak ketentuan sifat. Busu mengangkat kepalanya dan terpandang poster kecil di dinding dapur warung Mak Som. Salam Ramadhan. Penceramah Ustaz Saadon. Jam 8:30 malam. Surau Abu Bakar.

"kau jangan tak datang pulak Busu!". Mak Som memecah sunyi.
"Saadon tu orang Partai Bulan di Awangan, Mak Som!".
"dia bukan suruh engkau pangkah undi gambar bulan, Busu, dia cerita kelebihan ramadhan".
"nanti dia buat lawak tentang islam hadhari lagi Mak Som!".
"lawak sikit sikit apa salahnya Busu, nanti orang boring pulak!".
"tidak Mak Som, aku pantang orang buat lawak tentang hadhari".

Busu bangun, sambil berpesan utk masukkan bil kedalam buku tiga lima, dia mendengus. " Mak Som ni nak berpaling tadah ke?". Mak Som mengeleng, Uztaz Saadon punyalah baik orang.

Orang orang Partai Bulan Di Awangan ( PBA )dulu marah marah. YB peruntukkan lapan biji lampu jalan di pasang disekitar Kg Indah, semuanya di pasang di depan rumah ahli ahli Partai Melayu Abid ( PMA ) malah di depan surau pun tidak di pasang. Di rumah Kudus sahaja depan dan belakang. Kepala kepala paip peruntukkan DUN juga di pasang di depan rumah ahli ahli PMA sahaja, Moktar, Ayub dan Sidin ahli PBA hampir mengamuk kerana terpaksa menarik getah paip yang jauh. Kalau malas nak menarik getah mandi saja di paip tersebut. Itu yg Kudus suka, melihat para perempuan mandi berkemban, mengintai dari celah celah dinding rumahnya. Tinggi mana sangatlah syahwatnya?.

Hari demi hari kian terserlah beberapa kelompok golongan orang orang Melayu Kg Indah. Kelompok pertama ialah orang orang Kudus dari payung PMA. Kelompok kedua ialah mereka yang bernaung di bawah bendera PBA. Kelompok ketiga pula orang2 yang tidak berparti, mereka ini seperti Pak Yun Ranggi dan Uda Bacak, yang mereka tahu ialah menunggu para perempuan lacur yang keluar dari Kelab Bintang dan kawasan sekitarnya pada jam 4 pagi dengan teksi mereka, menghantar mereka pulang ke rumah masing masing dan selepas itu pulang kerumah pula dan membuta sehingga jam tiga petang, mengambil pula para pekerja Pusat Mel sebelum berlonggok di bawah pokok ketapang besar di tepi jalan Wai Loon untuk bermain dam. Kelompok ke empat pula ialah budak budak yang baru besar, yang kalau perempuan sudah mula tumbuh tetek. Mereka berpeleseran lelaki perempuan, surau jauh sekali. Ini termasuk anak Sidin orang kuat PBA, ayahnya kehulu kehilir untuk menjaja ideologi PBA tapi anaknya dibiarkan seperti tidak berbapa, berhilai ketawa dengan pakaian ala ala zaman batu dengan pusat terjuih keluar dan bertindik pula. Kalau terlihat Mak Som akan anak Si Sidin ini, Mak Som akan mengurut dadanya banyak kali sambil menyebut nauzubillah!

Ada empat kelompok besar manusia melayu golongan marhaen di Kg Indah. Golongan partai politik kerajaan, golongan partai agama, golongan tidak berpartai dan golongan muda yang sembrono terpikat cacamarba kehidupan barat yang di putarkan saban masa oleh media massa. Sedangkan disisi Kg Indah, sedikit bertebing, disempadan rumah Pak Dang Siam dan Mat Ro Bayai tersergam tembok2 besar. di dalamnya rumah rumah banglo orang orang yang dahulu datuknya berlayar dari Tanah Besar di hujung atas Laut China Selatan.

Orang2 PBA dengan orang2 PMA bergaduh, anak anak mereka bertenggekan di atas skuter siang malam. Orang orang di atas tebing membeli kedai kedai besar sedangkan Mak Som sering di buai mimpi ngeri tentang bulldozer. Yb Tukimin yang bersongkok tinggi, yang pandai bercakap hanya bagai penyanyi baru di dalam siri mentor. Dia hanya mengidamkan kerusi ketua bahagian.

Ramadan akan menjelma, biang panas siang naik ke udara seperti alur haba yang halus bergoyang goyang menampilkan aspal seperti lakonan bangsawan di sebalik cermin tebal. Burung2 entah kemana menghilang.

Monday, April 03, 2006

Kampung Indah - Episod mesyuarat Partai Melayu Abid.

Partai Melayu Abid ( PMA ) cap taming sari mengadakan mesyuarat agong cawangan Kg Indah jam 8:30 mlm. Hujan rintik rintik setitik setitik jatuh berbunyi tang..tang..tang ke atap zink balairaya yang uzur itu ketika Kudus memulakan mesyuarat. Hadir seramai 21 orang. Mat Noh tak hadir kerana balik Kuala Besut, iparnya menyahut panggilan Ilahi. Busu Manap juga tidak datang kerena bekerja shift malam. Sukiman tiada berita. Malik tiada berita. Total tidak hadir seramai 13 orang. Yang lain lain penduduk tidak hadir ialah penganut Partai Bulan Di Awangan ( PBD ). Itu tak masuk kira.

Ketika Kudus ingin membacakan semula minit mesyuarat dulu tiba tiba Tapa Lempeng bersuara "kami tak setuju harga minyak naik tiga kupang!". "Belum lagi Tapa!, kau tak puas hati pun, tunggu dulu". Kata Kudus menjerkah. Long Kadir menahan gelaknya sambil mengetip gigi kapak tunggalnya rapat ke bibir. Leman Gomok jiran si Long juga terhenjut henjut memegang perut, dia memang menjangkakan Tapa Lempeng akan menjadikan mesyuarat ini tegang, itulah yg selalu terjadi.

Kudus telah 12 tahun memegang jawatan ketua cawangan. Setiap kali raya dia akan menerima kad ucap selamat dari YB Tukimin, Menteri Besar. Beliau mamasukkan ke frame dan diletakkan di ruang tamu bersebelahan dengan gambar anaknya Danial Nordadameah Iskandar ketika menerima skroll di Konvo IKM melaka lama dulu. Danial Nordadameah Iskandar juga adalah pelajar tercerdik Kg Indah yang pernah tercatat sebelum anak Hj Norhan membuat diploma pengurusan pejabat di Kolej Lutsinar di Kuantan.

Mesyuarat di teruskan. Agenda utama yg harus di tekunkan ialah menuntut hakmilik lot. Hj Norhan saja sudah duduk di Kg Indah ini hampir 53 tahun. Samada tanah, longkang, pokok atau langit Kg Indah ini sudah kenal Hj Norhan. Peluh yang menitik ke tanah sudah jadi baja. Dulu Hj norhan membuka Kg Indah dengan Lebai Mat Diah, Maámor, Hj Maarom dan ramai lagi, menumbangkan pokok menjulang awan, meratakan banir, Mat Shah hingga mati mengidap sakit di sembur tedung.

Siapa sangka setelah 50 tahun, Kg Indah ini telah duduk di tepi kota besar, semua orang melihat dengan mata galak setiap inci Kg Indah ini. Nafsu serakah yang menyala meruap ruap. Orang kaya dan ahli politik berkira kira dengan conggak keuntungan. Lambat laun kegusaran Mak Som, Tapa, Sukiman akan menjadi nyatakah?

Tiba tiba Long Kadir menyerkah.."selagi hidup orang yang bernama Kadir ini, akan ku pertahankan hingga ke te..tes..san (titisan) darah terakhirku!". Sekali lagi mesyuarat terdiam sebentar. Leman Gomok kembali memegang perutnya menahan ketawa. Memang, Kg Indah ini penuh pahlawan pahlawan yg hebat hebat belaka.

Mesyuarat ditangguhkan jam 12:28 malam. Mesyuarat bersetuju jika mana mana bulldozer masuk dari jalan besar depan surau, Tapa Lempeng adalah benteng yg pertama yang tidur terlentang di tengah jalan. Long Kadir orang kedua. Jalal orang ketiga, kemudian Mahmud, Mail Dubun, Jali Tipah,..lagi..lagi..lagi...

Sebelum bersurai Mak Som sempat membisikkan ke telinga Tipah Lawa, "ini perang suci Tipah!".

Sunday, April 02, 2006

sahabatku uipts menulis...

salam loppies,

dengan beberapa hambatan yang ada, aku tidak mampu mencoret seperti dulu lagi. Walaupun sering rasa bermacam-macam perkara yang mahu di turunkan, dikeluarkan dari dalam kepala.

aku gembira kawan2 yang masih mampu bertahan untuk terus mencatit segala detik perjalanan waktu yang tentunya adalah rakaman masa, rakaman perjalanan umat kita, rakaman sekelompok generasi yang melihat perlu pentingnya catatan waktu itu disebut, dinyatakan.

Biar catatan waktu itu adalah catatan umat kita dan bangsa kita.

Sedang aku masih berada di kalangan bangsa eropah dan inggeris, jika mahu dibandingkan dengan segala macam bahan yang terbit dari tulisan2 mereka, memang mereka jauh lebih banyak.

Tetapi kitapun banyak. Dan kitalah yang harus mendukung untuk menyuburkan seberapa banyak bahan dalam bahasa kita untuk boleh dibaca oleh bangsa kita.

Kita kene menyakinkan bangsa kita, kita tidak perlu kagum dengan bangsa eropah lain, dengan bahasa mereka, kerana bangsa kita, bahasa kita juga mampu untuk disuburkan.

Penerbitan dalam bahasa kitapun juga hebat. Kita tidak perlu rasa rendah diri. Seolah bila kita menulis dalam bahasa kita, bahan tersebut menjadi bahan dan tulisan kelas dua. Bila menulis dalam bahasa inggeris atau bahan tulisan dalam bahasa inggeris ia kononnya tulisan kelas satu.

Itu semua tidak betul.

Itu hanya lahir dari rasa jiwa hamba bangsa kita.

Itu lahir dari rasa kerdilnya kita dan sikap-sikap tidak berani, malu melampau, sengaja meletakkan diri dan bangsa dalam kelas rendah, dan disamping segolongan elit dari bangsa kita yang tidak sedar diri dan cuba menindas kaum mereka sendiri yang berada dikampung.

Kitalah yang harus terus menerus menyemarakkan api kekuatan semangat bangsa kita untuk yakin dengan keupayaan kita. Keyakinan bahasa kita mampu untuk berada dimana-mana, digunakan dimana-mana dan untuk kegunaan dalam kelas setinggi manapun.

Loppies,

aku tahu catitan engkau sangat kuat untuk menimbulkan detik-detik peristiwa perjalanan kelas menengah bangsa kita. Sepanjang yang aku kenal tulisan engkau, engkau tidak melatarkan tulisan engkau dari kelas atasan bangsawan yang lupa sejarah bangsa mereka.

aku tahu watak-watak seperti Busu Manap, Mak Som, Kulub Hussien adalah contoh watak-watak bangsa melayu kita yang sangat mengakar dikampung2 dan sangat tinggi nilai2 ketimuran kita.

Tetapi tidak kurang dari sekelompok dari bangsa kita yang cuba memandang Busu Manap, Mak Som dan Kulub HUssien yang mempunyai ketinggian budi pekerti itu adalah kelas kedua dari bangsa kita. Mereka sengaja menjaja dan menonjolkan watak Erra, Natasha dan Sam adalah kelompok kelas satu yang berlatarkan bangsar, damansara dan klcc.

Tetapi jajaan mereka dan penonjolan mereka terus-terusan dalam media akhirnya mengabui pandangan umum bahawa latar Busu Manap, Mak Som dan Kulub Hussien adalah latar kelas kedua yang ketinggalan, rendah dan tidak bernilai dan kononnya latar Erra, Natasha, Sam, bangsar dan damansara adalah kelas atas dan mesti tinggi.

Kita harus terus melawan konsep ini dan kita mesti mempamirkan kekuatan, kemulian dan kemurnian latar2 melayu sebenar dan mempamerkan kepura-puraan latar mereka.

Kita mesti berani dan tidak malu untuk terus dengan identiti dan latar kita.

152850 | posted by uipts on March 29, 2006 at 2:08