Monday, March 27, 2006

Kampung Indah 3

Hoi babi!!, sekonyong konyong budak hitam bertubuh kurus itu lari menyusup antara lecak dan parit berair hitam likat. Kakinya bagai tidak menyentuh tanah dan kemudian hilang dicelah celah belok selekoh deretan rumah rumah setinggan Kg Indah. Leman Gomok keluar sambil mengulung lipat kain pelikatnya ke atas.."siapa babi Long?". "Ada orang mengintai anak aku Si Tipah".

Memang berhak Long Kadir marah. Tipah mengadu terasa bagai ada orang disebalik zink bilik air mereka ketika dia sedang mandi. Memang dari dulu dia terdengar ada riak riak bunyi tetapi dia anggap hanya kucing mengawan saja tetapi bunyi itu berulang. Dia berfikir takkan kucing asyik mengawan je...?. Maka pagi ini sahlah ada lembaga mengintai di celah celah zink tersebut. Long Kadir mengacung acungkan parangnya ke udara. Mata Leman Gomok berkelip kelip bagai parang tersebut singgah ke kepalanya saja.

Si Tipah memang ayu. Putih dan rambutnya dilepaskan hingga ke paras bawah dada. Dua tiga sudah masuk meminang tapi Long tidak izinkan. Kalau setakat Kerani rendah am atau tukang gred 2 atau pemilih surat di pusat mel, tidak usahlah berangan. Kata long "Bukan mahu jual anak, tapi tengoklah sendiri..kalau cekodok bilis Mak Som pun dah jadi 40 sen seketul, nak bagi makan apa pada anak aku kalau gaji RM 577.38 sen bersih?".

Ketika Mak Som menutup warungnya dengan menyusun semula papan papan sekeping sekeping yang bertulis 1.2.3.4.....lagu Nasier Wahab mendayu dayu dari dapur rumah Long. Tipah termenung di tingkap sambil matanya membilang seketul seketul awan yang berarak.

Sunday, March 19, 2006

Kampung Indah 2

Pagi datang semula menjatuhkan jala mentari menyerkup rumah rumah papan yang berkelibut tak tentu depan belakang di lembah Kampung Indah. Longkang longkang yang tak keruan dan air busuk yang gelap likat berselangseli dengan titi titi kecil dan budak budak berbogel berlari anak menjinjing seikat sawi dan ais krim batang dan tigaempat orang mak cik duduk bersembang bercerita laki jiran yang pulang mabuk, Rohnah Si pelacur dan Kudin Jaga main Indon. Bingit cerucuk, gagak dan enjin motosikal membawa pagi iseng iseng bertemu matahari yang hampir tegak.

Mak Som hanya duduk di warungnya berseorangan sambil membelek buku tigalima hutang para pelanggannya. Berniaga kebelakangan ini terasa mulai susah. Modal pusing mula sukar bila ramai pelanggan berhutang. Pagi tadi Deraman van bilang tambang sekolah sudah naik. Dulu untuk seisi pagi ke Sekolah Menengah Telapak hanya RM 18 sebulan, la ni dah naik RM 23. Deraman ni pun hantu juga, fikir Mak Som, tak sabar sabar nak naikkan tambang van sekolah, van nya pun bukan lawa, macam van perang dunia pertama layaknya dah tu pulak tak ada permit apalagi insuran, kalau apa apa jadi mau mati katak budak budak sekolah yang di isinya berhimpit himpit yang bukan lagi macam sardin tapi macam bilis dalam guni. Tapi apa yang boleh dibuat. Siapalah yang nampak sekelompok manusia kecil di lembah Kampung Indah ini. Yang nampak kami ialah kontraktor2 yang asyik mengugut untuk menyondol tanah tanih kami ini untuk di buat rumah kos tinggi. Naikkanlah bendera keris bersilang setinggi pokok kelapa tua pun, mereka tak nampak jugak, apalah lagi kalau bendera cap bulan mengambang..lagilah!

Mak Som terasa semakin hari hidup semakin perit. Semenjak lakinya Yusoh Maling bertemu malaikat maut di jalan besar sekembali dari jaga shift malam dulu tinggallah dia keseorangan membesarkan Mahani, Ipul dan Mohamad anak-anaknya. Sekarang hanya Ipul dan Mohamad yang masih bersekolah menengah, Mahani mengikut lakinya masuk FELDA. Bukan tak ada orang yang mengenyit Mak Som selepas aruah tiada tetapi Mak Som lebih suka bersendirian, entah mengapa tegar benar Yusoh Malin dalam hatinya. Tak sanggup dia.

Di muka depan suratkhabar pagi terpampang berita tentang penurunan harga kereta nasional dan import. Mak Som kemudian memandang sayu basikalnya dengan raga yang besar terikat di belakang.

Bunyi cerucuk dan nyanyian gagak kemudian membawa matahari tegak di atas warungnya.

Thursday, March 16, 2006

Kampung Indah 1

“ tepung dah naik, Busu. Dulu dapatlah barang seringgit empatpuluhlima sen sekilo. La ni dah seringgit tujuhpuluhlima sen”. Kata Mak som kepada Busu selepas Busu mempersoalkan harga cekodok bilis Mak Som naik empatpuluh sen sebiji daripada dulunya hanya tigapuluh sen.

Bukan saja cekodok bilis, malah karipap sardin dan karipap kentang pun naik. Kuih gulung, pau kaya dan pau kacang, cakui dan juga apam balik juga mencanak naik seperti kote budak nak terkencing. Kalau tak naik harga maka saiznya pula mengecil, kalau dulu seringgit mee hon ready made boleh kenyang hingga pukul duabelas tapi la ni untuk makanan yang sama, belum pukul sepuluh setengah perut dah mula meminta. Kalau tambah sebiji telur rebus barulah boleh tahan menjelang makan tengahari.

“Ubah cara hidup ialah ubah dari kenyang menjadi kebulur” kata Tapa Lempeng. Tapa memang jenis lepas cakap, dia dulu pernah mempertaruhkan telinganya untuk di potong jika kerajaan dapat mengawal kenaikan harga barang. Semua hanya cerita sampah. Najis. Yang pasti ialah Tapa semakin tenat. Kenaikan gaji 2006 yang baru dikecapi bermula bulan tiga ini ialah RM 48.39 sen. Hanya cukup untuk membayar hutang sarapan dan tea petang di warung Mak Som.

Samaada Busu, Tapa atau Mak Som, samada Kiah operator, Pak Agus atau Manap sama saja. Tiga kupang kenaikan minyak jelas semakin mengetatkan lagi jerut ekonomi dileher mereka. Para bijak pandai atau mengaku pandai asyik membaca sajak “ubah cara hidup” di atas pentas yang dulunya dibina atas keringat Tapa dan Busu juga, Pak Agus dan Manap juga, Kiah Operator dan Mak Som juga.

Wednesday, March 15, 2006

Kampung Indah

Suria pagi ini bangun seperti pagi pagi yang lalu. Hujung atas KLCC nampak sayup sayup dari hujung gerai Mak Som. Kilau balik matahari di dinding KLCC terpancar semula ke deretan atap rumah setinggan Kampung Indah.

Busu Manap dengan tekun seperti rutin membelek suratkhabar berita pagi selasa itu dengan mulut kumat kamit mengunyah karipap juga sambil membaca.

SBB terima 6.7 billion dari BCHB.

Kepala Busu Manap tegak semula. Beliau membayangkan banyak manakah wang 6.7 billion itu. Matanya tidak berkelip melihat Mak Som.

Dia bingkas bangun. Jam sudah 7:48 pagi. Dia harus cepat. Jika tidak Kulub Hussien yang menjaga mesin akan balik awal.

"Mak Som, tulis dulu".

Mak Som menggeleng. Semenjak minyak naik tiga kupang ini makin ramai orang orang Kampung Indah minta tulis dulu selepas sarapan, bayar time gaji.

Sunday, March 12, 2006

cerita tengahari rabu

Zaid menelefonku untuk bertemu di B Times Square. Ketika motokarku melepasi pondok tol Batu Tiga, tengahari sangat pijar hingga lenganku bagai di pagut semut api terkena sentuhan matahari itu.

Aku akhirnya membelok ke Station LRT Asia Jaya. Parkir. Membeli tiket secara manual ( vending machine kaput ). Menunggu hanya 30 saat kemudian aku bergerak ke Station Dang Wangi. Di dalam LRT yang tidak berderebar ini, di cermin salah satu set bangku maksudku, tertampal notis kerusi ini hanya untuk perempuan mengandung, orang tua , kurang upaya, etc tetapi amoi yang memakai seluar yang cawatnya hanya dua inci, pemuda melayu berambut perang dan lelaki India yang berkemeja lengan panjang ( penjual insuran, mungkin) santai santai aje duduk, berdiri berhampiran adalah seorang apek yang mengepit suratkhabar berbahasa cina dan di sebelahnya nyonya tua menjinjing bag 'adidos'.

Tidak lama kemudian suara dari siling LRT bergema untuk mengatakan station berikutnya - Dang Wangi.
Keluar dari Sation, matahari yang pijar menyambutku semula. Aku kemudian berjalan di lereng Lebuh Ampang ( walkwaynya sungguh menarik kerana jika berjalan dari Stn Dang Wangi menuju ke Stn Monorel Bkt Nenas, di sebelah kanan kita di hidangkan hutan rimba yang dengar ceritanya berusia ratusan tahun).

Bergegas di Stn Monorel Bkt Nenas, membeli tiket ke B.Times Square dan menunggu di platform. Selepas sepuluh minit terdengar dari corong speaker di platform membuat pengumuman "sistem mengalami kerosakan teknikal, tren di jangka mengalami kelewatan selama 15 minutes". Aku memohon untuk tuan2 membayangkan, jam ketika itu lima minute selepas masuk zohor, matahari sangat pijar, platform monorel hanya beratapkan canopy putih, terbuka dan tiada kipas pendingin. Canopy itu entah dari material apa hingga pijar panas matahari membuatkan segerombolan pelancung kulit putih bermandi peluh. Selepas 10 minute dari pengumuman pertama, pengumumam kedua pula "....anda boleh refund tiket jika membatalkan perjalanan anda". Maka berpusu pusulah orang di kaunter tiket. Hanya seorang perempuan muda yang cantik berbangsa india bertugas di kaunter pemulangan tiket.

Akhirnya kami berpusu pusu pula menunggu teksi di bawah station Bkt Nenas untuk ke arah Bkt Bintang, etc. Teksi hanya lalu sebuah sebuah..ohh. Zaid menelefonku "kat mana bro?".

Kerana teksi yang datang amat berkurangan aku akhirnya berborak dengan seorang bule dari England, tentunya aku cadangkan kami berkongsi teksi ke B.T.Square. OK. Frank dari Liverpool berkata padaku "adakah selalu monorel ini begini?". Aku "ini kes yg sangat terpencil". Frank "oo..".

Akhirnya teksi utk giliran kami sampai. Aku duduk di sebelah pemandu dan Frank di belakang. Pemandu Teksi tidak mengerakan keretanya lagi, aku tanya kenapa. "sana jalan jem nii..", "tapi u kena hantar..". "Kalau encik nak pergi jugak, RM 20 boleh? ". Aku "pakai meter lah". "meter rosak". "Biasa pakai meter saya jangka dalam RM 6-7 saja". "Jalan jem encik". Aku "mana boleh cakap camtu". "encik nak report..reportlah".

Frank di belakang hanya terkebil kebil, tak fahe!
Pijar sekarang berada di mana mana. Di jalanraya. Di atas pokok. Di atas monorel dan di dalam dadaku!.

Akhirnya aku menganguk kepada drebar teksi. Sampai di BTSquare, Frank cepat cepat menghulurkan note RM50, kemudian mengambil bakinya RM30. Ketika kami beriringan ke masuk Ke BTS aku menghulurkan RM10 ke Frank. Frank menolak tetapi bertanya kepadakku "adakah
masaalah teksi seperti ini juga kes kes terpencil?". Aku kemudian mengangguk sambil berkata "mungkin", kerana ku katakan kepada Frank juga yang aku amat jarang menaiki teksi. Frank menganguk dan selepas kami berjabat dia hilang dalam kelibut pelalu lalang.

Ketika aku sampai Zaid menegurku, "bro, lewat?".
Maaf Zaid, aku baru mudik dengan sampan dari Mulu. Zahid tak faham..tercengang-cengang.

Sunday, March 05, 2006

Bosun kadiaq

Bosun Kadiaq

Namanya Kadeer, atau semua orang kenal sebagai Bosun Kadiaq. Berpangkat Bosun kerana dia adalah ketua kelasi bahagian dek. Aku belum lahir lagi ketika Kadeer mula menjadi Ordinary Seaman di kapal kapal dagang Greek yang berlabuh di Singapura. Kapal dan laut adalah hidup Kadeer, dek yang sarat menampung karat dan cat cat yang bertimbun adalah urat urat yang berselingkuh di lengannya. Crane yang tertenggek didada dek, funnel yang hitam berjelaga, lubang lubang petak hatta rope dan camar camar yang melayah adalah nafas bagi Kadeer. Hanyir laut dan ayun gelora, buak ombak dan oleng arus adalah tarian yang saban saat Kadeer tarikan.

Kadeer telah begitu tua sebenarnya bilamana EPF nya tidak perlu lagi di potong. Namun badannya yang kekar dengan dada yang kembang dan misainya yang berkuntum menjelmakan Kadeer dalam bentuk beberapa belas tahun muda dari usianya.

Dia punya kisah cinta yang menyedihkan. Isterinya lari ke pelukkan jantan lain. Beginilah kisah tersebut: aku sampai ke rumahku ketika malam telah begitu larut, perjalanan dari Singapura memakan berbelas jam kerana dari railway station KL aku mengambil teksi buruk ke Ipoh dan bertukar bas ke Penang. Kebetulan sebelum Singapura kapal belayar dari China, aku membeli jade dan berlian paling cantik hingga harganya tiga bulan setengah gajiku. Itulah tanda hadiah untuk isteriku yang paling di rindui. Sengaja tidak ku beritahu isteriku atas kepulangan kali ini biar dia terperanjat akan silau berlian ini bila aku kejutkan ia dari tidur. Aku sampai ke pintu rumahku dalam jam 2 pagi. Ketika ku ketuk pintu, isteriku yang membukanya, matanya terbeliak melihat kujur tubuhku yang berdiri. Ketika ku tolak daun pintu agar terbuka lebih luas, seorang lelaki yang tanpa seutas benang pun tengah terlentang di kusyen depan. Ketika itu pandangan ku gelap. Siling rumahku kemudian berpusing pusing dengan ligat. Aku terduduk di anak tangga. Malam terasa bagai di siangkan oleh matahari yang tiba tiba muncul diufuk barat. Rasa cinta, rasa rindu, rasa kasih kemudian bertebaran keluar dari dadaku dan hilang lenyap di dalam kegelapan malam, segalanya menjadi amat kosong. Kemudian berlian dan jade itu ku serahkan padanya. Aku lepaskan kau dari ikatan perkahwinan kita, dari ikatan rindu dan kasih sayangku, maka semenjak malam ini kita tidak lagi mempunyai apa apa ikatan. Kemudian aku pun melepaskan talak.

Kadeer kemudian belayar tak pulang pulang lagi. Arak kemudian menjadi temannya untuk melupakan kelukaan cinta. Dia tidak lagi memperdulikan dirinya, setiap pelabuhan yang disinggah akan menyaksikannya dipapah kelasi lain setelah bergulat dengan arak dan kemabukkan yang amat. Dia meniduri sekelian perempuan. Hinggalah sampai pada satu saat ketika itu kapal baru saja menyusur keluar dari Rotterdam dan dalam perjalanan ke Bremen Heaven, Kadeer jatuh di dek.

Lapanbelas hari dia duduk di wad di Hamburq. Setiap malam di hospital dia bermimpi aruah ibunya datang mengosok rambut dan ubun ubunnya sambil menangis menasihatinya hingga satu pagi bila tersedar saja dari tidurnya memang ada tompokan basah di lengan bajunya.

Kami duduk ketika itu disebelah portside menghadap gangway yang berlipat, angin laut menerjah tali rope dan dari jauh sekawan dolphin kemudian riuh melompat, di horizon sana awan dan laut bagai berkucup ketika jalur jalur mega matahari keluar dari celah celah awan menikam dada laut yang tenang dan bagai cermin.

Semenjak itu aku tidak lagi menyentuh arak dan perempuan. Aku membeli kitab dan membaca quran, tenang sungguh takala malam sunyi yang jauh di laut terbuka ini kita berdamping dan aku merasa sangat dekat denganNya. Dialah cinta abadi yang selama ini aku lupakan. Terima kasih kepada bonda ku kerana kasihnya kepada ku tak putus putus.

Setiap pagi Bosun Kadiaq lalu di depan kabin ku sambil menyelitkan di bawah pintu nota arah kiblat untuk hari itu ( arah kiblat akan bertukar setiap waktu selalunya bila kapal menukar haluan ). Jika di luar ombak terlalu besar untuk bekerja di dek, Kadeer akan membasuh karpet surau atau duduk di biliknya membelek ihya ulummudin.

Dia akan bersendirian selalunya dan berkata kata dengan Tuhan lewat zikirnya yang terbang melayah kedada lautan sebelum naik kelangit menyapa awan.