Monday, November 06, 2006

Selamat Hari Raya

Orang orang yang semborono seperti aku ini sewajarnya dari awal syawal lagi cepat cepat meminta maaf kepada sekelian orang orang yang terlibat dalam hidupku samaada keterlibatan itu di alam nyata atau di alam tidak nyata. Memang seperti kata Uztaz Lisut bahawa meminta maaf kepada orang lain tidak ada masa atau hari2 tertentu sahaja, ia wajar, boleh, bagus, molek dilakukan bila bila saja kita merasa perlu.

Selain dari keluargaku, berikut adalah orang2 yang penting untuk aku memohon maaf.

Kepada Yusuf jiranku sepatutnya adalah orang yg pertama untuk aku pohon maaf kerana lewat bertahun kami berjiran selalu aku bermonolog tentangnya. Tentang pizza sejuk yang kerap di hantar. Memandu terlalu perlahan dan cermat. Daun daun bunga kertas dan sepit udangnya yang sepatutnya melambai masuk ke kawasan rumahku telah di potongnya, aku sebenarnya lebih rela daun2 itu masuk ke sebelah pagar ku untuk menambahkan kehijauan. Yusuf terlalu baik sebenarnya dan kerana kebaikkannya itu aku adakalanya menjadi geram.

Kepada Kak Yah juga aku harus memohon maaf. Kak Yah selalu datang ke rumah kami dan menceritakan perihal suaminya Cikgu Sobri. Cikgu Sobri main perempuan lain. Cikgu Sobri dingin. Cikgu Sobri punya lima credit card. Cikgu Sobri suka menonton channel MTV. Cikgu Sobri itu..ini..itu..ini. Kak Yah…akak harus sembunyikan kelakuan suami kakak yg nakal tu, bukan dok cerita dengan orang lain. Kerana penghebahan yg tak putus putus itu aku menjadi geram kepada Kak Yah dan mengumpatnya.

Amir, pengurus yg menghabiskan 130k membaik pulih rumah itu juga mengundang umpatan kami. Rumah Nasa mengalami banjir dan plaster silingnya retak. Beberapa hari kebelakangan ini bila saja hujan, air akan mencurah curah dari atap genting rumahnya, rumah rumah jiran jua turut banjir, telah lapan kali barangkali Mat Indon naik ke atap, berjemur hingga ke petang menampal simen ke genting namun tiada perubahan. Lantaran kerana itu Amir layak di umpat, maka aku harus cepat2 meminta maaf kepada beliau.

Kepada Datuk Zakaria juga sepatutnya aku harus meminta maaf kerana terlibat mengumpatnya. Kalaupun dia mahu membuat rumah gadang, itu hak dia, dari mana sumber hasil wangnya, itu urusan dia. Aku yg tidak tahu apa2 ini terus bersubahat dengan Yahaya, Nasa, Cikgu Suri dan Manap bercerita tentang Datuk Zakaria, ceritanya tak lain dari marah marah dan kesal.

Kita ini rupanya asyik membuat salah, kepada Rampai juga yang selalu datang ke rumahku dan melihat halaman rumah yang semak samun dengan lalang yang tinggi, aku juga meminta maaf. Kepada Keng, kepada zizie, kepada blackpurple, kepada kawan lamaku Abdullahjones, kepada UIPTS, kepada seorangorang, kepada SitiNesta dan hanyasayang, kepada Prof Wan, kepada Pak Hab di Osaka, kepada Imam Brahim di Jordan, kepada Sam di Keningau, Capt. Onn, Noes, Syamsul Kahar, Joepropel, JV,Achan, Bokón, Dikjoe di Texas dan ramai lagi yang tidak mampu saya tulis, kebanyakkan mereka adalah kawan2 di alam tidak nyata ini, saya meminta maaf..banyak banyak kerana barangkali tulisan2 saya terdahulu tidak enak dibaca, keluar dari norma norma yg baik, berupa tuduhan, cacian, kata2 kesat, lucah dan terbabit dengan elemen elemen carcamarba.

Kerana barangkali manusia biasa seperti kita tidak maksum, atas kapasiti saya sebagai seorang Loppiess maka tidak terhindar saya dari bobrok dan kecacaian yang busuk, sambil memaafkan saya terimalah juga saya sebagaimana adanya..