Monday, August 14, 2006

dan musim pun berangkat.

Telah begitu lama aku tidak bertandang di warung Pak Lah. Telah begitu lama bermakna telah hampir tujuh ke lapan bulan. Lama tidak bertandang kerana telah tumbuh seperti cendawan restoran restoran baru di sekitar Lembah Subang ini. Lebih mudah ke restoran2 baru tersebut kerana senang untuk memparkir pick up yang besar yang kami bawa. Sementelah di kawasan flat kos rendah Lembah Subang ini sangat sempit kawasan lalulalangnya. Kiri kanan penuh kereta, jika nasib tidak baik harus kita tersekat di tengah tengah semberono kereta yg di parkir di kiri kanan laluan.

Pak Lah sekarang kelihatan begitu kurus. Ketika aku duduk di bangku berhampiran pohon Puding yang rendang, angin semilir bertiup seulas seulas membelai wajah kami. Persekitaran flat kos rendah ini kelihatan semakin daif, buaian telah putus rantainya dan di simpulkan saja. Gelonsor mainan telah rabak. Papan jongkang jongket terbaring saja, di sisi laman, lalang tumbuh. Beberapa helai baju yang lusuh tersangkut di atas tiang lampu yang barangkali jatuh dari tingkat 16.

"Pak Lah tak beberapa sihat, minggu lepas empat malam tidur di wad, kata mereka kencing manis Pak Lah tinggi".

"kemudian selang beberapa hari Pak Lah sekali lagi tidur di wad kerana kekurangan gula pula".

"Alhamdullilah Lope, Tuhan memberi peringatan, Pak Lah sangat bersyukur".

"Dulu Pak Lah tidak sedar, tidak bersolat, tidak bersyukur, asyik di warung ini hingga azan magrib Pak Lah masih dengan kuali dan mee, azan insyak Pak Lah asyik membancuh tea tarik dan nescafe ais, azan subuh Pak Lah bergulung di dalam selimut, tidak hirau apa pun".

"sekarang Pak Lah barangkali telah mula sedar, kau lihatlah Lope, warung Pak Lah ini mula sepi semenjak restoran restoran baru di buka, kemudian Pak Lah tidur di wad bermalam malam, sakit segala sendi dan saraf, sedikit sedikit keadaan berubah, Pak Lah kehilangan ramai pelanggan, Pak Lah kehilangan juga kesihatan".

"atas semua ini tak sudah sudah Pak Lah bersyukur Lope, Pak Lah masih boleh berjalan dan terbongkok bongkok sujud, Tuhan sayang akan Pak Lah kerana sakit ini datang mengejutkan Pak Lah dari leka".

"kita rupa rupanya sangat leka dengan lajunya kehidupan dan kita ini tak habis habis di perkudakan untuk beroleh lebih dan lebih, hingga kita lupa apalah semua itu sebenarnya kerana hidup ini sangat pendek, Tuhan meminjamkan kita dunia ini, sekarang Pak Lah sudah 50 tahun hidup, cuma barangkali 10 tahun atau lebih sedikit yang tinggal, apa lagi yang Pak Lah kejar sebenarnya?".

"Lope, Pak Lah sangat bersyukur, rupanya kunci kebahagiaan itu adalah bersyukur Lope, ya, bersyukur, bersyukur atas sakit, bersyukur atas senang, bersyukur atas kesusahan, bersyukur atas rahmat, bersyukur atas kepayahan kerana setiap sesuatu itu Tuhan bagi bersama kebaikkan".

Kemudian azan asar pun berkumandang dari Surau Solehin. Pak Lah bangun, mencapai sebotol minyak atar yang kecil, menyapukan di kedua dua belakang lengannya dan menyapukan ke seluruh depan bajunya.

Petang semakin surut. Burung burung berterbangan di atas pohon pohon puding. Bau minyak atar Pak Lah kemudian hilang di balik balik blok rumah pangsa kos rendah Lembah Subang. Sayup sayup terdengar bilal Surau Solehin qamat..marilah bersembahyang..marilah bersembahyang..marilah menuju kejayaan.

1 Comments:

At 5:32 AM, Blogger loppiess said...

alhamdullillah.

 

Post a Comment

<< Home