Monday, September 18, 2006

Kg Indah - Episode orang orang terkucil

Busu Manap terkucap kucap mengunyah cekodok bilis Mak Som. Beberapa pagi yang lalu sama juga dengan pagi ini, hujan setitik setitik bertaburan jatuh. Nun jauh kelihatan puncak KLCC bungkam dingin. September yang membawa ke pertengahan ini di selangselikan dengan sehelai sehelai angin semilir dan tabrak rintik rintik hujan membasahi kolong rumah rumah uzur orang orang kecil Kampung Indah. Awan terlukis dengan warna kelabu terlihat cuma bagai gabus gabus yang tidak ketentuan sifat. Busu mengangkat kepalanya dan terpandang poster kecil di dinding dapur warung Mak Som. Salam Ramadhan. Penceramah Ustaz Saadon. Jam 8:30 malam. Surau Abu Bakar.

"kau jangan tak datang pulak Busu!". Mak Som memecah sunyi.
"Saadon tu orang Partai Bulan di Awangan, Mak Som!".
"dia bukan suruh engkau pangkah undi gambar bulan, Busu, dia cerita kelebihan ramadhan".
"nanti dia buat lawak tentang islam hadhari lagi Mak Som!".
"lawak sikit sikit apa salahnya Busu, nanti orang boring pulak!".
"tidak Mak Som, aku pantang orang buat lawak tentang hadhari".

Busu bangun, sambil berpesan utk masukkan bil kedalam buku tiga lima, dia mendengus. " Mak Som ni nak berpaling tadah ke?". Mak Som mengeleng, Uztaz Saadon punyalah baik orang.

Orang orang Partai Bulan Di Awangan ( PBA )dulu marah marah. YB peruntukkan lapan biji lampu jalan di pasang disekitar Kg Indah, semuanya di pasang di depan rumah ahli ahli Partai Melayu Abid ( PMA ) malah di depan surau pun tidak di pasang. Di rumah Kudus sahaja depan dan belakang. Kepala kepala paip peruntukkan DUN juga di pasang di depan rumah ahli ahli PMA sahaja, Moktar, Ayub dan Sidin ahli PBA hampir mengamuk kerana terpaksa menarik getah paip yang jauh. Kalau malas nak menarik getah mandi saja di paip tersebut. Itu yg Kudus suka, melihat para perempuan mandi berkemban, mengintai dari celah celah dinding rumahnya. Tinggi mana sangatlah syahwatnya?.

Hari demi hari kian terserlah beberapa kelompok golongan orang orang Melayu Kg Indah. Kelompok pertama ialah orang orang Kudus dari payung PMA. Kelompok kedua ialah mereka yang bernaung di bawah bendera PBA. Kelompok ketiga pula orang2 yang tidak berparti, mereka ini seperti Pak Yun Ranggi dan Uda Bacak, yang mereka tahu ialah menunggu para perempuan lacur yang keluar dari Kelab Bintang dan kawasan sekitarnya pada jam 4 pagi dengan teksi mereka, menghantar mereka pulang ke rumah masing masing dan selepas itu pulang kerumah pula dan membuta sehingga jam tiga petang, mengambil pula para pekerja Pusat Mel sebelum berlonggok di bawah pokok ketapang besar di tepi jalan Wai Loon untuk bermain dam. Kelompok ke empat pula ialah budak budak yang baru besar, yang kalau perempuan sudah mula tumbuh tetek. Mereka berpeleseran lelaki perempuan, surau jauh sekali. Ini termasuk anak Sidin orang kuat PBA, ayahnya kehulu kehilir untuk menjaja ideologi PBA tapi anaknya dibiarkan seperti tidak berbapa, berhilai ketawa dengan pakaian ala ala zaman batu dengan pusat terjuih keluar dan bertindik pula. Kalau terlihat Mak Som akan anak Si Sidin ini, Mak Som akan mengurut dadanya banyak kali sambil menyebut nauzubillah!

Ada empat kelompok besar manusia melayu golongan marhaen di Kg Indah. Golongan partai politik kerajaan, golongan partai agama, golongan tidak berpartai dan golongan muda yang sembrono terpikat cacamarba kehidupan barat yang di putarkan saban masa oleh media massa. Sedangkan disisi Kg Indah, sedikit bertebing, disempadan rumah Pak Dang Siam dan Mat Ro Bayai tersergam tembok2 besar. di dalamnya rumah rumah banglo orang orang yang dahulu datuknya berlayar dari Tanah Besar di hujung atas Laut China Selatan.

Orang2 PBA dengan orang2 PMA bergaduh, anak anak mereka bertenggekan di atas skuter siang malam. Orang orang di atas tebing membeli kedai kedai besar sedangkan Mak Som sering di buai mimpi ngeri tentang bulldozer. Yb Tukimin yang bersongkok tinggi, yang pandai bercakap hanya bagai penyanyi baru di dalam siri mentor. Dia hanya mengidamkan kerusi ketua bahagian.

Ramadan akan menjelma, biang panas siang naik ke udara seperti alur haba yang halus bergoyang goyang menampilkan aspal seperti lakonan bangsawan di sebalik cermin tebal. Burung2 entah kemana menghilang.

Thursday, September 07, 2006

Kisah pelayaran Kasab Saadon

Bow MV Rimba Meranti perlahan lahan diseret bot bot penunda merapat ke dermaga. Kasab Saadon hanya duduk berpeluk tubuh. Pandangannya yang tadi terpaku di puncak Grimsby Dock Tower kemudian beralih ke poket seluar jeans lusuhnya. Dia mengeluarkan bekas tembakau lalu mengulung rokok kertasnya sambil matanya meniti jajaran krane yang beratur disepanjang dermaga. Kelibut lori lori dan para Stevedor, burung camar dan gudang gudang yang besar menyambut lelah MV Rimba Meranti yang akhirnya tersandar di dermaga Pelabuhan Grimsby. Kasab Saadon tersenyum, dia bagai terlihat lihat liuk lentuk Brenda, gadis Cleethorpes yang mengekori buritan Mv Rimba Meranti bermula dari Rotterdam yang kemudian menyusur ke Hamburq dan Bremen lalu meredah selat Enggeris, berlabuh di Immingham yang kemudian berangkat dan lelah di Grimsby. Musim sejuk mula nazak, sekitar gudang terkelubung dgn kabus dan lantai lantai dermaga hanyalah basah dan menjelmakan bayang bayang tiang lampu, crane dan kapal kapal yang kaku. Kasab Saadon masih berdiri di tepi gangway. Pandangannya tak putus putus meniti laluan yang sayup yang terpisah oleh bangunan Seafarer Club. Manakah Brenda?

note:
Kepada Rampai & Keng, saya akan cuba membawa anda merasakan kisah pelayaran Kasab Saadon di samping menghidupkan semula Siri Kg Indah. Mohon agar ia bukan cuma angan angan saya. HaHaHa.