Sebuah tulisan musim jerebu
Ketika ku tulis tulisan ini, wajah alam sangat pudar. Kelabu. Hutan kecil dan bukit bukit amat berbalam seperti tirai besar panggung sebuah teater seram. Meskipun angin tetap bertiup namun ia amat longlai, jerebu mewajahkan lukisan alam bagai ketika di landa musim dingin di Gdansk.
Sudah agak lama tidak menulis, kemahuan untuk menulis itu adakalanya meronta ronta, ada beberapa episode cerita yang terkarang di dalam minda mohon di turunkan ke kalam. Mungkin ya kata kata Rostam ketika beliau membaca puisiku di atas mejaku lewat satu hari yg lalu, beliau berkata "kamu Lope..bagai bisa merasa dengan rasa yang aku tiada".
Inilah puisi yang Rostam baca di atas mejaku,
Aku tidak menipumu.
aku tidak mampu menahan bunga dari berkembang
dan warnanya bukan aku yang mencalitkan
dan aku tidak mampu menipu engkau untuk kali berikutnya
kerana cinta bukan aku yang menumbuhkan
akarnya terbentuk dari
kalbuku paling dalam.
perempuan,
aku tidak menipumu.
loppiess.
Begitu, kebelakangan ini aku bagai berada di dalam mood belasungkawa. Seminggu yang lalu ketika itu jam menunjukkan pukul empat pagi, rumah ku telah di kunjungi tetamu tetamu tidak dijemput. Mereka telah mengambil komputer ribaku, kamera digitalku, jam tanganku dan telepon bimbitku. Komputer berjenama toshiba yang berharga 6 K itu sangat berharga di dalam hidupku, selain isteriku dan anak ku, komputer itu adalah 'orang'yg paling hampir dgn ku. Segala galanya berada di dalamnya, segala puisi2 ku, segala data2 pelangganku, segala tulisanku, segala perincian teknologi kepada sistem di tempat kerjaku, segala gambar gambar yang kurakamkan lewat perjalanan hidup beberapa tahun lampau, segala ungkapan ungkapan taklim yang kupungut dari merata, segala slide motivasi yang ku kumpul dari alam cyber, segalanya yang mewarna hidup sehari harian. Semua itu hilang sekelip mata. Tetamu tidak diundang yang masuk ke rumahku dengan memotong besi grill di pintu bahagian dapur telah mengambil komputer tersebut dan membawa pergi. semudah itu. kemudian aku merasa amat kehilangan, ya..kehilangan.
Namun kemudian aku bersungguh sungguh memujuk hati. Tidak apa kerana semua itu atas takdir, apa yang kita sayang tidak akan kekal, kita sayangkan komputer riba, ia barangkali akan rosak atau hilang, kita sayangkan telepon bimbit, ia juga tidak akan bertahan selama lamanya. Barangkali juga semua itu kerap melalaikan aku. Tuhan, aku membaca hikmah yg Engkau berikan kerana itu semua tak lain tak bukan rahmat belaka yang tak putus putus Engkau anugerahkan kepada ku. Aku kemudian belajar menerima kejadian itu. Dan kini aku telah menerimanya, ia tidak lagi merunsingkan.
Dan aku baru saja ketemu puisi Nanang Suryadi ini, dia menulis :
Bagaimana Diterjemah
Bagaimana diterjemah sebuah gelisah
Mengamuk di dada sendiri
Bagaimana diterjemah sebuah gundah
Memporak wajah sepi
O diri!
Nanang S.
Ingin juga aku tuliskan semula di sini sebuah sajak Sutardji yang telah lama tertampal di dinding surau MV Rimba Balau, kapal dagang yang belayar kini entah di mana, beginilah sajak indah tersebut :
Solitude
the most roselike
the most thornlike
the most birdlike
the most earthlike
the most knifelike
the most eyelike
the most armlike
the most high
God.
Sutardji.
Aku sangat berterimakasih kepada Keng kerana lewat emailnya, beliau telah menuliskan semula komenku menjadi sejajaran sajak yang pada mulanya tidak aku sangka. Tetapi ia tidak disiarkan di sini atas sebab2 tertentu diantaranya ialah kerana baru baru ini ketika aku sangat bernafsu untuk membaca cerpen pujanggaku Hj Suratman Markasan, aku ketemu satu tulisan Baha Zain yang menyindir tulisan orang muda yang "marah marah"dan "lepas kata". Kemudian aku ke cermin dan melihat mukaku.
Aku menulis sajak "Pilihan" ini ke dalam PDAku ketika seusai keluar dari Art Case Gallery yang mempamirkan lukisan2 minyak sahabatku Lat ( Latif Maulan), beginilah bunyinya:
Pilihan
kita memilih
dosa.
seperti kita memilih
roti.
aku memilih vanilla
seperti engkau memilih strawbery
dia memilih inti kacang
seperti kamu memilih isi kaya.
kita memilih dosa kerana
ia punya banyak perasa.
loppiess.
Aku juga telah menulis surat buat saudaraku Agus, surat yg di tulis beberapa minggu lalu tidak di hantar, kemudian saya lampirkan saja di sini untuk dibaca semua.
loppiess
Ladang Tremelbye
29 june 2006
Buat Agus yang di ingati, aku ini baik baik adanya, moga dlm lindungan Allah hendaknya kita belaka. Musim nampaknya kala ini panasnya memanjang, langit terlalu tinggi dan awan selalunya gopoh untuk pamit.
Aku dan isteriku serta anak anak amat sihat. Diharap kau dan Kamariah serta anak2 juga begitu. Tidak ada apa2 yg sangat penting untuk ku tuliskan lewat surat ini cuma untuk memberitahu bahawa kami telah berpindah rumah, ke jalan lengkungan, no.109, diharap nanti bila saja engkau punya masa, datanglah ke sini, aku sedang menyiapkan beberapa keping oil painting, aku dambakan kritikan engkau.
Tidak banyak hendak kuceritakan peri hal politik yang berlansung di tanahair, seperti kau baca melalui internet, Abdullah Badawi sedang keluhkesah di umpatkeji Tun Mahathir. Kalau kita rasakan Tun akan bergembira dengan alam persaraannya, itu salah, dia manusia yg menyimpan penuh amarah dan kekucarkaciran kalbu tidak tahu sampai bila. Dia terus terbeban dengan ego melangit, dia terus mabuk dalam mimpi mimpi gemilang masa lalunya. Doakan mereka Agus.
Idolamu Anwar sudah entah kemana, berpusing pusing seantero dunia, ada bisik2 dia mahu dijadikan orang penting di United Nation. Tidak jelas kebenarannya. Masih ingatkah dia petani miskin pesawah padi di Sungai Petani?
Agus, saudara2 kita di Gaza sedang mengharungi episode baru dalam novel kesengsaraan mereka. Jika sebelum ini hanya kurang ubat ubatan tapi kini sudah tidak punya air dan bekalan elektrik. Hospital hospital halted. Para menterinya di tahan dan bandar bandar di bom. Hidup seharian mula masuk ke fasa sengsara tahap tinggi. Bangsa primitive dan babarian Yahudi laknatullah terus berwenang. Sekali lagi penuh kesal, aku hanya mampu berdoa.
Agus,
Tiada musim buah sekarang ini. Durian di kampung kita yang mula berputik sebesar buah epal di jatuhkan pula oleh kera yang marah barangkali kerana hutan seberang telah di botakkan. Lubuk2 kecil yg dulu penuh puyu dan keli kini sudah kosong, peladang kelapa sawit menyembur racun berwenang wenang hingga burung kecil tempua turut tersungkur apabila membasah tekak di lubuk tersebut. Sesekali jika hujan mendadak maka banyaklah rumah tenggelam kerana deru air dari bukit turun tak bertangguh tangguh ke bawah kerana belukar dan batang batang leban, meranti atau resak di tebang bagai menebang lalang layaknya. Engkau juga harus bersedih Agus.
demikian Agus,
kebobrokan nampaknya terus saja bergayut dimana mana, kita ini orang orang kecil terus bergulat dalam gelombang sakit, pedih dan hampa. Atau haruskah aku ini bersendirian saja, mengira detak nafas dan terus saja melukis di kanvas, mengindah warna bunga yang merah atau hijau kuning ladang dan menumbuh biru gunung ganang.
menulis kepadamu ini cuma barangkali untuk ku kongsi duka ini.
loppiess.
Kepada Keng, terimakasih atas jemputan ke Masjed Wilayah, aku tidak dapat hadhir atas sebab2 yg tidak dapat di elakkan.