Bosun kadiaq
Bosun Kadiaq
Namanya Kadeer, atau semua orang kenal sebagai Bosun Kadiaq. Berpangkat Bosun kerana dia adalah ketua kelasi bahagian dek. Aku belum lahir lagi ketika Kadeer mula menjadi Ordinary Seaman di kapal kapal dagang Greek yang berlabuh di Singapura. Kapal dan laut adalah hidup Kadeer, dek yang sarat menampung karat dan cat cat yang bertimbun adalah urat urat yang berselingkuh di lengannya. Crane yang tertenggek didada dek, funnel yang hitam berjelaga, lubang lubang petak hatta rope dan camar camar yang melayah adalah nafas bagi Kadeer. Hanyir laut dan ayun gelora, buak ombak dan oleng arus adalah tarian yang saban saat Kadeer tarikan.
Kadeer telah begitu tua sebenarnya bilamana EPF nya tidak perlu lagi di potong. Namun badannya yang kekar dengan dada yang kembang dan misainya yang berkuntum menjelmakan Kadeer dalam bentuk beberapa belas tahun muda dari usianya.
Dia punya kisah cinta yang menyedihkan. Isterinya lari ke pelukkan jantan lain. Beginilah kisah tersebut: aku sampai ke rumahku ketika malam telah begitu larut, perjalanan dari Singapura memakan berbelas jam kerana dari railway station KL aku mengambil teksi buruk ke Ipoh dan bertukar bas ke Penang. Kebetulan sebelum Singapura kapal belayar dari China, aku membeli jade dan berlian paling cantik hingga harganya tiga bulan setengah gajiku. Itulah tanda hadiah untuk isteriku yang paling di rindui. Sengaja tidak ku beritahu isteriku atas kepulangan kali ini biar dia terperanjat akan silau berlian ini bila aku kejutkan ia dari tidur. Aku sampai ke pintu rumahku dalam jam 2 pagi. Ketika ku ketuk pintu, isteriku yang membukanya, matanya terbeliak melihat kujur tubuhku yang berdiri. Ketika ku tolak daun pintu agar terbuka lebih luas, seorang lelaki yang tanpa seutas benang pun tengah terlentang di kusyen depan. Ketika itu pandangan ku gelap. Siling rumahku kemudian berpusing pusing dengan ligat. Aku terduduk di anak tangga. Malam terasa bagai di siangkan oleh matahari yang tiba tiba muncul diufuk barat. Rasa cinta, rasa rindu, rasa kasih kemudian bertebaran keluar dari dadaku dan hilang lenyap di dalam kegelapan malam, segalanya menjadi amat kosong. Kemudian berlian dan jade itu ku serahkan padanya. Aku lepaskan kau dari ikatan perkahwinan kita, dari ikatan rindu dan kasih sayangku, maka semenjak malam ini kita tidak lagi mempunyai apa apa ikatan. Kemudian aku pun melepaskan talak.
Kadeer kemudian belayar tak pulang pulang lagi. Arak kemudian menjadi temannya untuk melupakan kelukaan cinta. Dia tidak lagi memperdulikan dirinya, setiap pelabuhan yang disinggah akan menyaksikannya dipapah kelasi lain setelah bergulat dengan arak dan kemabukkan yang amat. Dia meniduri sekelian perempuan. Hinggalah sampai pada satu saat ketika itu kapal baru saja menyusur keluar dari Rotterdam dan dalam perjalanan ke Bremen Heaven, Kadeer jatuh di dek.
Lapanbelas hari dia duduk di wad di Hamburq. Setiap malam di hospital dia bermimpi aruah ibunya datang mengosok rambut dan ubun ubunnya sambil menangis menasihatinya hingga satu pagi bila tersedar saja dari tidurnya memang ada tompokan basah di lengan bajunya.
Kami duduk ketika itu disebelah portside menghadap gangway yang berlipat, angin laut menerjah tali rope dan dari jauh sekawan dolphin kemudian riuh melompat, di horizon sana awan dan laut bagai berkucup ketika jalur jalur mega matahari keluar dari celah celah awan menikam dada laut yang tenang dan bagai cermin.
Semenjak itu aku tidak lagi menyentuh arak dan perempuan. Aku membeli kitab dan membaca quran, tenang sungguh takala malam sunyi yang jauh di laut terbuka ini kita berdamping dan aku merasa sangat dekat denganNya. Dialah cinta abadi yang selama ini aku lupakan. Terima kasih kepada bonda ku kerana kasihnya kepada ku tak putus putus.
Setiap pagi Bosun Kadiaq lalu di depan kabin ku sambil menyelitkan di bawah pintu nota arah kiblat untuk hari itu ( arah kiblat akan bertukar setiap waktu selalunya bila kapal menukar haluan ). Jika di luar ombak terlalu besar untuk bekerja di dek, Kadeer akan membasuh karpet surau atau duduk di biliknya membelek ihya ulummudin.
Dia akan bersendirian selalunya dan berkata kata dengan Tuhan lewat zikirnya yang terbang melayah kedada lautan sebelum naik kelangit menyapa awan.
6 Comments:
Begitulah kehidupan ini, bagaikan kolek di tengah samudera ganas, berlabuhnya entah di dermaga mana jika tidak ada kekuatan. Alhamdulillah, Kadeer dapat juga berlabuh di hati tenang bercahayakan keagungan Allah SWT.
Wa minallahi tawfiq. Dan dari Allah lah taufiqk. Begitulah penting doa ibu untuk anak-anak.
saya memang selalu seronok membaca cerita pelaut. dunia lautan penuh misteri. bagai kitab terbuka yg mampu mnginsafkan.
lope, bukan ulangan ka?
bunga,
Kadeer di pilih-Nya.
Keng,
ibuku mendoakanku saban waktu.
suri,
ohh suri, betapa benarnya kata2mu.
zizie,
luahan Hamka atau Arenawati dulu adalah pemangkin cinta pada laut dan dunianya..ia begitu asyik.
jones,
blogspot version.
email dari seorang pembaca :
Apabila saya terbaca kisag bosun Kadeer yang sungguh menyayat hati sehingga menitis air mata berjuraian dipipi. saya juga istri kepada seorang kelasi kapal. Dari cerita yang telah dibaca, saya rasa suami saya orang yang paling beruntung kerana saya banyak berkorban dan memberi kesetiaan tetapi tak dihargai suami sehingga menjadi satu tekanan jiwa kepada saya. Bermula selepas kahwin sehinggalah mempunyai 2 anak saya saya akan berusaha berjumpa suami pabila kapal berlabuh di pelabuhan Malaysia. Pernah berlaku satu peristiwa, saya sampai kepelabuhan hari hampir senja, saya dimaklumkan kapal tak jadi berlabuh, anchor ditengah laut. Cuba talipon suami tak dapat.Dengan sarat mengandung 7 bulan, membawa 1 beg penuh buah2an saya melangkah longlai ke bus stand Port Klang sambil duduk memikirkan apa yang perlu saya lakukan, sedangkan hari semakin malam. Tiba2 saya rasa tergerak hati untuk kejeti. Alhamdulillah kebetulan istri kapten kapal telah booking boat ke tempat yang sama, dapatlah saya menumpang mereka. Saya hairan kepada istri2 kelasi kapal jarang saya temui mereka datang ke kapal menemui suami mereka, kekadang saya naik segan kerana saya tidak lepaskan peluang menemui suami setiap kali kapal berlabuh. Suka, duka, kesunyian, kesusahan yang saya lalui sebagai istri kelasi, saya tetap tabah dan setia walaupun banyak godaan yang datang menyapa, saya kuatkan iman, Allah yang satu tempat saya mengadu. Setiap malam saya menadah tangan memohon dan menangis agar kami suami istri tidak berpisah lagi. Semoga Allah memberi pekerjaan yang sesuai didarat untuk suami. Malah saya mengisi borang permohonan kerja untuk suami dan menghantar kepada syarikat2 yang mempunyai jawatan kosong yang sesuai dengan pengalaman kerja suami. Suami beritahu yang dia belum sesuai untuk bekerja didarat dan sayang untuk meninggalkan pekerjaanya sekarang.
Malangnya setelah saya mengandung anak ke 3, saya dapat tahu suami mula menjalinkan hubungan cinta dengan seorang gadis. Betapa hancurnya hati....pengorbanan selama ini tak dihargai. Saya juga tak tahu apa yang telah berlaku dibelakang saya selama ini...
bila difikir2 baru saya perasan yang sebelum ini, suami seolah2 tidak benarkan saya datang menemuinya lagi. Pelbagai alasan yang diberi.
Saya benar2 dalam dilemma....adakah ingin meneruskan hidup dengannya atau sebaliknya........
Post a Comment
<< Home