Sunday, March 19, 2006

Kampung Indah 2

Pagi datang semula menjatuhkan jala mentari menyerkup rumah rumah papan yang berkelibut tak tentu depan belakang di lembah Kampung Indah. Longkang longkang yang tak keruan dan air busuk yang gelap likat berselangseli dengan titi titi kecil dan budak budak berbogel berlari anak menjinjing seikat sawi dan ais krim batang dan tigaempat orang mak cik duduk bersembang bercerita laki jiran yang pulang mabuk, Rohnah Si pelacur dan Kudin Jaga main Indon. Bingit cerucuk, gagak dan enjin motosikal membawa pagi iseng iseng bertemu matahari yang hampir tegak.

Mak Som hanya duduk di warungnya berseorangan sambil membelek buku tigalima hutang para pelanggannya. Berniaga kebelakangan ini terasa mulai susah. Modal pusing mula sukar bila ramai pelanggan berhutang. Pagi tadi Deraman van bilang tambang sekolah sudah naik. Dulu untuk seisi pagi ke Sekolah Menengah Telapak hanya RM 18 sebulan, la ni dah naik RM 23. Deraman ni pun hantu juga, fikir Mak Som, tak sabar sabar nak naikkan tambang van sekolah, van nya pun bukan lawa, macam van perang dunia pertama layaknya dah tu pulak tak ada permit apalagi insuran, kalau apa apa jadi mau mati katak budak budak sekolah yang di isinya berhimpit himpit yang bukan lagi macam sardin tapi macam bilis dalam guni. Tapi apa yang boleh dibuat. Siapalah yang nampak sekelompok manusia kecil di lembah Kampung Indah ini. Yang nampak kami ialah kontraktor2 yang asyik mengugut untuk menyondol tanah tanih kami ini untuk di buat rumah kos tinggi. Naikkanlah bendera keris bersilang setinggi pokok kelapa tua pun, mereka tak nampak jugak, apalah lagi kalau bendera cap bulan mengambang..lagilah!

Mak Som terasa semakin hari hidup semakin perit. Semenjak lakinya Yusoh Maling bertemu malaikat maut di jalan besar sekembali dari jaga shift malam dulu tinggallah dia keseorangan membesarkan Mahani, Ipul dan Mohamad anak-anaknya. Sekarang hanya Ipul dan Mohamad yang masih bersekolah menengah, Mahani mengikut lakinya masuk FELDA. Bukan tak ada orang yang mengenyit Mak Som selepas aruah tiada tetapi Mak Som lebih suka bersendirian, entah mengapa tegar benar Yusoh Malin dalam hatinya. Tak sanggup dia.

Di muka depan suratkhabar pagi terpampang berita tentang penurunan harga kereta nasional dan import. Mak Som kemudian memandang sayu basikalnya dengan raga yang besar terikat di belakang.

Bunyi cerucuk dan nyanyian gagak kemudian membawa matahari tegak di atas warungnya.

6 Comments:

At 6:52 AM, Blogger Ku Keng said...

Pelik juga kampung Indah ni. Kalau di kampung ku, yang berkeadaan tak banyak berbeza, lagu-lagu Melayu, Tamil dan Hindustan senantiasa berkumandang di merata pelosok kampung.

Pendapatku Mak Som pasti kahwin. Beliau akan dingorat oleh pelanggannya yang paling banyak berhutang. Jadi hutang tersendirinya akan langsai. Dan si lelaki itu akan bilang, untuk mas kahwin, ikut sunnah, hadiahkan tiga qul saja, memadai.

 
At 7:05 AM, Blogger Unknown said...

jum pakat tukar pentadbiran..

 
At 2:55 AM, Blogger loppiess said...

keng, lagu lagu Nassier Wahab pun ada, lagu lagu sedih, gitu. Lagu Tamil tak ada sebab lelaki tamil terakhir di Kg Indah mati overdose lama dulu.
Barangkali juga Mak Som akan menikah semula, dia bukan tidak cantik ( psst keng, rupa masa muda dia macam kasma booty..lumayan).

zam, psst..cakap pandang pandang Zam, nanti kao kena mengajar kat Serian, jgn salahkan aku lak.

 
At 6:11 AM, Blogger zizie ali said...

lukisan teratak sengek nak tumbang di tepi sawah nampak lebih cantik dari lukisan banglo di lereng bukit.
realitinya?

 
At 10:29 PM, Blogger loppiess said...

zizie, eer apa hah..tak tau.

 
At 10:40 PM, Blogger Sayuti said...

tidakkah tersimpan cita2 untuk hidup dalam suasana yang lebih baik sambil mengekalkan budaya yang sama baik? sampai bila kita ingin berpegang pada teratak kayu dan menunggang basikal cabuk? sampai bila mahu mengharap orang lain, tak kiralah yang bercap keris bersilang atau cap roket atau cap kepala kerbau atau cap mata biru atau cap bulan mengambang?

orang tidak nampak jika kita jalan bawa sepanduk di tengah2 jalan. atau menjadi perisai manusia di depan jentolak2. orang akan nampak jika anak2 masyarakat Kampung Indah berjaya mengharumkan nama kampungnya.

dan mengapa hanya segelintir orang2 Kota Lampu turun menghulurkan ilmu dan fikiran? oh ya, orang2 Kota Lampu sibuk bermain cahaya.

p/s: maaf banyak soalan.

 

Post a Comment

<< Home