Thursday, June 29, 2006

Sebuah tulisan musim jerebu

Ketika ku tulis tulisan ini, wajah alam sangat pudar. Kelabu. Hutan kecil dan bukit bukit amat berbalam seperti tirai besar panggung sebuah teater seram. Meskipun angin tetap bertiup namun ia amat longlai, jerebu mewajahkan lukisan alam bagai ketika di landa musim dingin di Gdansk.

Sudah agak lama tidak menulis, kemahuan untuk menulis itu adakalanya meronta ronta, ada beberapa episode cerita yang terkarang di dalam minda mohon di turunkan ke kalam. Mungkin ya kata kata Rostam ketika beliau membaca puisiku di atas mejaku lewat satu hari yg lalu, beliau berkata "kamu Lope..bagai bisa merasa dengan rasa yang aku tiada".

Inilah puisi yang Rostam baca di atas mejaku,

Aku tidak menipumu.

aku tidak mampu menahan bunga dari berkembang
dan warnanya bukan aku yang mencalitkan
dan aku tidak mampu menipu engkau untuk kali berikutnya
kerana cinta bukan aku yang menumbuhkan
akarnya terbentuk dari
kalbuku paling dalam.

perempuan,
aku tidak menipumu.



loppiess.


Begitu, kebelakangan ini aku bagai berada di dalam mood belasungkawa. Seminggu yang lalu ketika itu jam menunjukkan pukul empat pagi, rumah ku telah di kunjungi tetamu tetamu tidak dijemput. Mereka telah mengambil komputer ribaku, kamera digitalku, jam tanganku dan telepon bimbitku. Komputer berjenama toshiba yang berharga 6 K itu sangat berharga di dalam hidupku, selain isteriku dan anak ku, komputer itu adalah 'orang'yg paling hampir dgn ku. Segala galanya berada di dalamnya, segala puisi2 ku, segala data2 pelangganku, segala tulisanku, segala perincian teknologi kepada sistem di tempat kerjaku, segala gambar gambar yang kurakamkan lewat perjalanan hidup beberapa tahun lampau, segala ungkapan ungkapan taklim yang kupungut dari merata, segala slide motivasi yang ku kumpul dari alam cyber, segalanya yang mewarna hidup sehari harian. Semua itu hilang sekelip mata. Tetamu tidak diundang yang masuk ke rumahku dengan memotong besi grill di pintu bahagian dapur telah mengambil komputer tersebut dan membawa pergi. semudah itu. kemudian aku merasa amat kehilangan, ya..kehilangan.

Namun kemudian aku bersungguh sungguh memujuk hati. Tidak apa kerana semua itu atas takdir, apa yang kita sayang tidak akan kekal, kita sayangkan komputer riba, ia barangkali akan rosak atau hilang, kita sayangkan telepon bimbit, ia juga tidak akan bertahan selama lamanya. Barangkali juga semua itu kerap melalaikan aku. Tuhan, aku membaca hikmah yg Engkau berikan kerana itu semua tak lain tak bukan rahmat belaka yang tak putus putus Engkau anugerahkan kepada ku. Aku kemudian belajar menerima kejadian itu. Dan kini aku telah menerimanya, ia tidak lagi merunsingkan.

Dan aku baru saja ketemu puisi Nanang Suryadi ini, dia menulis :

Bagaimana Diterjemah

Bagaimana diterjemah sebuah gelisah
Mengamuk di dada sendiri

Bagaimana diterjemah sebuah gundah
Memporak wajah sepi

O diri!



Nanang S.


Ingin juga aku tuliskan semula di sini sebuah sajak Sutardji yang telah lama tertampal di dinding surau MV Rimba Balau, kapal dagang yang belayar kini entah di mana, beginilah sajak indah tersebut :

Solitude

the most roselike
the most thornlike
the most birdlike
the most earthlike
the most knifelike
the most eyelike
the most armlike

the most high
God.


Sutardji.


Aku sangat berterimakasih kepada Keng kerana lewat emailnya, beliau telah menuliskan semula komenku menjadi sejajaran sajak yang pada mulanya tidak aku sangka. Tetapi ia tidak disiarkan di sini atas sebab2 tertentu diantaranya ialah kerana baru baru ini ketika aku sangat bernafsu untuk membaca cerpen pujanggaku Hj Suratman Markasan, aku ketemu satu tulisan Baha Zain yang menyindir tulisan orang muda yang "marah marah"dan "lepas kata". Kemudian aku ke cermin dan melihat mukaku.

Aku menulis sajak "Pilihan" ini ke dalam PDAku ketika seusai keluar dari Art Case Gallery yang mempamirkan lukisan2 minyak sahabatku Lat ( Latif Maulan), beginilah bunyinya:

Pilihan

kita memilih
dosa.
seperti kita memilih
roti.

aku memilih vanilla
seperti engkau memilih strawbery
dia memilih inti kacang
seperti kamu memilih isi kaya.

kita memilih dosa kerana
ia punya banyak perasa.



loppiess.


Aku juga telah menulis surat buat saudaraku Agus, surat yg di tulis beberapa minggu lalu tidak di hantar, kemudian saya lampirkan saja di sini untuk dibaca semua.

loppiess
Ladang Tremelbye
29 june 2006

Buat Agus yang di ingati, aku ini baik baik adanya, moga dlm lindungan Allah hendaknya kita belaka. Musim nampaknya kala ini panasnya memanjang, langit terlalu tinggi dan awan selalunya gopoh untuk pamit.

Aku dan isteriku serta anak anak amat sihat. Diharap kau dan Kamariah serta anak2 juga begitu. Tidak ada apa2 yg sangat penting untuk ku tuliskan lewat surat ini cuma untuk memberitahu bahawa kami telah berpindah rumah, ke jalan lengkungan, no.109, diharap nanti bila saja engkau punya masa, datanglah ke sini, aku sedang menyiapkan beberapa keping oil painting, aku dambakan kritikan engkau.

Tidak banyak hendak kuceritakan peri hal politik yang berlansung di tanahair, seperti kau baca melalui internet, Abdullah Badawi sedang keluhkesah di umpatkeji Tun Mahathir. Kalau kita rasakan Tun akan bergembira dengan alam persaraannya, itu salah, dia manusia yg menyimpan penuh amarah dan kekucarkaciran kalbu tidak tahu sampai bila. Dia terus terbeban dengan ego melangit, dia terus mabuk dalam mimpi mimpi gemilang masa lalunya. Doakan mereka Agus.

Idolamu Anwar sudah entah kemana, berpusing pusing seantero dunia, ada bisik2 dia mahu dijadikan orang penting di United Nation. Tidak jelas kebenarannya. Masih ingatkah dia petani miskin pesawah padi di Sungai Petani?

Agus, saudara2 kita di Gaza sedang mengharungi episode baru dalam novel kesengsaraan mereka. Jika sebelum ini hanya kurang ubat ubatan tapi kini sudah tidak punya air dan bekalan elektrik. Hospital hospital halted. Para menterinya di tahan dan bandar bandar di bom. Hidup seharian mula masuk ke fasa sengsara tahap tinggi. Bangsa primitive dan babarian Yahudi laknatullah terus berwenang. Sekali lagi penuh kesal, aku hanya mampu berdoa.

Agus,
Tiada musim buah sekarang ini. Durian di kampung kita yang mula berputik sebesar buah epal di jatuhkan pula oleh kera yang marah barangkali kerana hutan seberang telah di botakkan. Lubuk2 kecil yg dulu penuh puyu dan keli kini sudah kosong, peladang kelapa sawit menyembur racun berwenang wenang hingga burung kecil tempua turut tersungkur apabila membasah tekak di lubuk tersebut. Sesekali jika hujan mendadak maka banyaklah rumah tenggelam kerana deru air dari bukit turun tak bertangguh tangguh ke bawah kerana belukar dan batang batang leban, meranti atau resak di tebang bagai menebang lalang layaknya. Engkau juga harus bersedih Agus.

demikian Agus,
kebobrokan nampaknya terus saja bergayut dimana mana, kita ini orang orang kecil terus bergulat dalam gelombang sakit, pedih dan hampa. Atau haruskah aku ini bersendirian saja, mengira detak nafas dan terus saja melukis di kanvas, mengindah warna bunga yang merah atau hijau kuning ladang dan menumbuh biru gunung ganang.

menulis kepadamu ini cuma barangkali untuk ku kongsi duka ini.

loppiess.


Kepada Keng, terimakasih atas jemputan ke Masjed Wilayah, aku tidak dapat hadhir atas sebab2 yg tidak dapat di elakkan.

Monday, June 26, 2006

Sembang kosong dengan Baharum.

Aku ketemu Baharum ketika minum pukul sepuluh pagi. Walaupun tempat kerja dan pejabat kami sama namun agak sukar untuk bertemu dgnnya kerana beliau sering ke luar negeri atas urusan syarikat. Semenjak dipilih sebagai seorang yang akan menilai teknologi yg sesuai digunapakai oleh syarikat kami, beliau sering berada di Eropah, China dan Amerika, walaupun kami sepejabat tetapi selalunya hanya dapat bertanya kabar melalui email.

Dulu aku ada sesekali bersama beliau ke Quangzhou tetapi berpergian jauh sebegitu bukanlah lagi sesuatu yg aku sukai. Aku tidak mahu kehilangan rutin. Bangun pagi dan bersolat dgn selesa. Ke tempat kerja. Balik sekitar jam 4. Menukar pakaian jogging dan berlari lari anak ke hutan kecil berhampiran rumah ku. Hutan kecil itu mempunyai banyak denai denai dan lorong yang redup. Di satu bahagian puncak bukit hutan kecil itu akan ada pemandangan yang di sempadani horizon. Dari jauh crane crane yg terjongket di sekitar Nortport, West Port dan KCT bagai kelihatan pagar pagar di kaki langit. Datang ke hutan kecil ini, berjalan dan berlari lari anak adalah masa yang sangat penting bagiku kerana aku benar benar terasa bersendirian, berseorangan dan kalau adapun yang lain cuma sesekali para pejogging yang berselisih dan burung burung yang melompat dari ranting ke ranting.

Kami ( aku dan Baharum ) pagi itu berseloroh tentang jam 'rolex'yg di pakainya. Dia membelinya dengan harga RM 25 sahaja tetapi kelihatan begitu menawan. Baharum bercerita bila saja dia tidak keluar negeri, beliau akan berusha untuk bersembahyang berjemaah di surau taman perumahannya, menghadiri apa apa program seperti sirah nabi, tajwid, sunnah, taklim atau apa2 saja. Tetapi katanya lagi, golongan yg hadir cuma muka2 itu saja, maksudnya yang tua sekitar umur 45 ke atas, golongan2 muda entah kemana hilangnya, kalau adapun cuma sebilangan kanak2 kecil yg bergurau di halaman surau. Keadaan itu bukan saja berlaku di taman perumahannya saja malah di Taman x, di Taman Z, di Taman K, di Taman C, di Kg J, di Kg T, di daerah N, di daerah Y, di negeri P, di negeri F, di...di...di...

Para remaja dan orang muda nampaknya terus terasing dari surau dan masjid. Para ayah dan ibu telah membawa satu kotak yang berukuran 29 inci ke ruang tamu rumah mereka. Di kotak itu di masukkan barangkali seratus channel untuk menjadikan anak anak mereka mempunyai banyak pilihan untuk menjadi apa. Baharum memberitahuku "anak2 itu tidak perlu lagi untuk ke disko atau ke concert untuk meniru pakaian pakaian atau perangai perangai terkini, mereka di sogok kan terus ke dalam rumah...mudah bukan?". Untuk menambah lukaparah tersebut, syarikat2 kafir dan islam yang mahu keuntungan berbiliun biliun ringgit itu terus memberikan rancangan2 yang sensasi, penyanyi2 baru yang muda muda, yang berpakaian seperti mahu bertelanjang, yang cantik cantik, yang mengoda, di tonjolkan untuk di pilih, untuk di undi, untuk dijeritkan, untuk digilabayangkan, undi dijadikan idola hidup dan untuk dijadikan nabi ( kalau boleh ) yang mana segala sunnahnya akan diikut.

Maka surau menjadi sepi. Longlai.

Baharum merapatkan mukanya ke mukaku seraya membisikkan . "ini hadhari lope!".

Aku tersenyum. Nescafe pagi ini menjadi begitu pahit.

Lusa Baharum akan ke Canada dan aku akan kembali kepada denai denai redup di hutan kecil berhampiran rumahku. Dan barangkali yang akan aku fikirkan bila bersendirian begitu termasuklah isu perbualan kami pagi tadi.

Kemudian tiba tiba aku teringat pada Keng dan Rampai.

Wednesday, June 21, 2006

Keliru

Mak Lang yang akan menerima umur ke 40 tahunnya pada bulan depan sudah mewarnakan rambutnya menjadi merah. Kenapa Mak Lang warnakan rambut tu?, kita harus mengalahkan masa yang berlari mengekori kita Lope!. Ada perlumbaan ke Mak Lang?, Ya, kita berlumba dengan masa yang mahukan kita mengalah dan menerima hakikat!. Apakah salah untuk menerima hakikat itu Mak Lang?, Ya, salah!, kita harus hidup dalam dunia yang kita ciptakan dan gembira dengannya.

Hmmm..terlalu mudah menjadi keliru. Mak Lang mengatakan aku yang keliru. Aku mengatakan yang keliru ialah bukan aku tetapi nafsu dan kemahuan kita.

demikianlah.

Tuesday, June 20, 2006

Yang Menyimpan Rindu

Aku terbaca puisi Nanang Suryadi ini, ianya begitu mengesankan hatiku hingga aku merasakan aura romantika mengalir, menuntut, mendamba, mengantung susuk kalbu ku terawang awangan....

Yang Menyimpan Rindu

Sebagai cakrawala harapku, lengkung alis matamu
Binar mata, berkas bintang-bintang mencahaya, demikian rindu

Katakan di jejak yang mana kau tinggalkan
Biar ditelusur peta hingga penghabisan

Mengenangmu, menandai penanggalan, hari-hari demikian lambat
O waktu, siapa yang mengarungi laut gelombang, hingga ke tepian merapat

Di dermaga hatimu



Depok, 9 Februari 2002