Tuesday, July 25, 2006

inilah kehidupan

Memang seni. Setelah berhari hari melihat belakang dapur yang sunyi itu akhirnya Joyo memberitahu Yanto akan kebarangkalian yang mudah untuk dilaksanakan operasi yang dinamakan öperasi "kutip rejeki" itu. Di bahagian belakang itu jika kala malam memang gelapnya berbinar. Lampu jalan dari depan tidak seulas pun cahayanya sampai. Tidak ada seekor anjing pun dipelihara orang2 berhampiran hanya kecualilah Mr Tow. Namun anjing besar Mr Tow beroperasi di depan sahaja, tidak lansung terlibat dengan bahagian belakang rumah. Malah deria baunya barangkali juga tidak akan tercium hangit Joyo atau Yanto yang merangkak di dalam pekat gelap. Lampu dapur Madam Yap juga akan dimatikan jam sebelas tigapuloh malam. Lampu dapur Mr Lang memang jarang dihidupkan kerana Mr Lang sendiri jarang berada di rumah di Estate Tremelbye ini kerana beliau selalunya akan berada di Kuala Lumpur, rumah anaknya Patrick atau juga dia ke Singapore, ke rumah anaknya Peggy Lang. Yang ada pun kadang kadang hanya lampu rumah En Yusof yang menyala. Itu pun tidak selalu. Selain satu mata lampu bercahaya putih yang barangkali dalam sekitar 60 watt itu, En Yusof juga mengantung beberapa kunci angin yang dibuat dari buluh dan ada juga sepasang yang dibuat dari besi. Namun bunyi kletang kletung kunci angin yang ditiup angin itu amat nipis, tengelam timbul dan ianya lansung tidak dihiraukan Joyo dan Yanto. Selalu juga bila malam terlalu sunyi, kucing kucing Pak Cik Bashar yang sekitar lima enam ekor itu membuat onar. Samada mereka memang bergaduh atau dalam kelazatan bersenggama tidaklah diketahui tetapi erangan erangan mereka cukup memecahkan binar sunyi dan mengalirkan semula desir kehidupan di bahagian belakang rumah teres dua tingkat di Jalan Lengkungan itu. Kalau tiada mereka, maka yang ada hanyalah denyut sunyi mengalir bersama desiran angin dinihari yang samar samar.

Lantaran kerana sunyi yang bangat itu, sebarang operasi "kutip rejeki" haruslah di buat dengan penuh hati hati. Sebarang bunyi barangkali akan membawa impak yang besar. Kalau setakat bunyi selak pintu diselak tidak apa kerana bunyi itu akan tenggelam dengan bunyi kunci angin En Yusof tetapi jangan pulak bunyi periuk jatuh atau bunyi hand phone lagu La Mamba yang biasa Joyo setkan di hand phonenya, nahaslah jawabnya. Sebelum mampir ke arah jalan belakang Jalan Lengkungan, mereka memastikan handphone dipadamkan terus, mode getaran pun tidak usah. Gudang Garam atau Soempoerna haruslah dipadamkan dan dikelenyek dengan kaki betul betul. Bag sandang yang dulu dibekalkan Pak Lurah di Surabaya dipakai silang membelit dada biar tidak mudah terlucut nanti jika kalau perlu menghunjam langkah seribu.

Akhirnya Joyo dan Yanto berdiri tepat di hadapan pintu pagar belakang rumah sasarannya di pagi yang amat sunyi itu. Tiada desah kehidupan, kesunyian meleret menghuni segala ruang. Hatta erang kucing kucing Pak Cik Basyar juga tiada kedengaran, juga anjing Mr Tow tidak juga menyalak, barangkali kepenatan kerana petang tadi dijinjing oleh Gel anak Mr Tow keliling Taman. Ruang sangat pengap, dinding dinding batu berdiam dan bulan juga hilang.

Joyo kemudian membuka tingkap cermin bahagian dapur basah rumah L ( rumah mangsa ) dengan berhati hati. Kepingan tingkap cermin nombor dua dari bawah itu dipegang bagai menatang minyak yang penuh dan di letakkan dengan berhati hati disebelah kepingan nombor satu dari bawah. Joyo menyalakan lampu picit mininya ( yang seperti hanya sebuah pen tulis ) dan menyuluh ke selak pintu kayu tanpa grill untuk membuka pintu yang menutup ruang dapur basah tersebut. Dia pun menyelaknya berhati hati dan pintu terbuka. Mudah amat rupanya untuk membuka pintu yang barangkali pintu ke tigaratus empat puluh semenjak dia mula bergabung dengan Yanto dalam membuat kerja kerja side income yang lumayan ini. Ketika pintu terbuka Yanto pun masuk. Kini mereka berdepan pula pintu kedua untuk masuk ke ruang dapur kering dan seterusnya ruang rumah itu yang mempunyai grill dan di mangga dengan kunci besar Solex. Joyo perlahan lahan mengeluarkan pemotong besi yang besar, pemegang pemotong itu jika di kuak akan melebar sehingga setengah depa.

Dalam hanya barangkali sekitar 45 saat, besi grill yang memegang mangga besar solex itu telah terkoyak dan pintu grill itu terkuak perlahan lahan. Yanto kemudian membuka pula pintu kayu yang tidak berkunci itu perlahan lahan dan dia kini sedang berdepan dengan kabinet dapur yang penuh laci laci. Beliau membuka satu satu. Laci pertama tersimpan duit sebanyak RM 6o.00, Yanto kemudian terus memasukkan duit tersebut ke dalam poketnya. Di atas rak cabinet nombor dua terdapat sebuah kamera digital jenis olympus, Yanto bergegas memasukkan ke dalam bagnya. Di atas meja makan, di tepi berhampiran tangga ke tingkat atas, Joyo ketemu pula sebuah jam tangan lelaki jenis Titus, dia terus memasukkan ke dalam bag sandangnya. Di sofa ruang tamu Yanto ketemu pula sebuah komputer riba jenama Toshiba siap dengan charger dan thumb drive, ohh.., Yanto memandang Jono dan di waktu yang sama juga Jono memandang Yanto. Mereka tersenyum. Muka Yanto yang jonggos dan giginya yang kuning itu terukir tanda puas. Yanto kemudian tergesa gesa memasukkan komputer riba itu ke dalam bagnya, matanya kemudian melilau lagi di sekitar ruang tamu, ahh DVD atau telivisyen tidak mungkin dapat kami pikul, bisik hatinya.

Jono kini sudah berada di bucu tangga, beliau perlahan lahan naik ke atas dengan memijak anak anak tangga penuh berhati hati. Beliau masuk ke bilik tidur pertama yang kosong. Sebuah meja tulis dan sebuah katil yang kosong. Juga ampaian baju2 sekolah, kain sejadah dan telekung. Jono menyentap kain telekung dan sejadah dan menimbunkannya di lantai. Dia membuka satu satu laci meja tulis dan meletakkan di atas timbunan tersebut agar tiada bunyi yg kedengaran. Namun tiada apa, beliau kemudian masuk ke bilik kedua, dua orang anak perempuan kecil sedang tidur nyenyak, diantara dua katil tersebut Jono ternampak sebuah telephone jenama Nokia dan dengan penuh berhati hati beliau mencapainya, ketika itu lampu meja yg cahayanya berwarna putih terpasang terang, radio diatas meja tulis juga masih hidup, bacaan ayat2 Quran mendayu dayu berbunyi perlahan dari corong radio tersebut, Jono tidak berasa apa apa kerana semenjak kecil bapanya mengatakan ia seorang Muslim tapi dia tidak tahu apa apa, cuma kadang2 dia berasa juga sentuhan bunyi azan dan nasyid yang indah2 namun sentuhan itu hanya bagai cubitan nyamuk yang kemudian hilang.

Kini Jono berdiri di hadapan bilik tidur utama. Pintunya terkatup rapat. Debar dijantungnya semakin meninggi tetapi memandangkan masih tiada emas atau duit yang banyak ditemui dia harus mencuba juga untuk masuk ke bilik utama ini.
Tombol pintu di pulas, perlahan lahan, sedikit terkuak, tetapi tiba tiba terdengar panggilan dari dalam bilik..kakak!..kakak!, Jono kemudian tidak bertangguh, beliau berlari turun, Yanto yang sudah berada di luar juga bersedia untuk lari, Jono menjeritkan "ayuh lari", diketika itu mereka berdua terus hilang di dalam gelap.

Seketika itu ruang belakang deretan rumah teres di Jalan Lengkungan itu menjadi hidup, lampu lampu terpasang, Yanto dan Jono telah barangkali setengah kilometer jauhnya dari situ. Anjing Mr Low terdengar menyalak, kucing kucing En Basyar kelihatan berkelibut. Kunci angin En Yusof kletung kletang berbunyi bagai lebih kuat dari biasanya.

Desiran angin dinihari kemudian bertiup membawa desah kehidupan, selang satu jam kemudian azan subuh pun bersahut sahutan di sekeliling Estate Tremelbye ini. Orang orang mula bangun dan satu lagi siang pun bermula.

Hari bermula seperti biasa, di jalan hadapan Nyonya Lim kelihatan telah keluar untuk berjogging. Penghantar suratkhabar mula membalingkan suratkhabar2 tersebut ke dalam kawasan rumah rumah sepanjang Jalan Lengkungan. Ada suratkhabar yang tersangkut di atas bunga kertas, ada tersadai di atas bumbung kereta, ada terselit di rak kasut.

Di muka hadapan salah satu suratkhabar itu tertulis tajuk besar " Lapan Maut terkena bedilan bom". Aku mengurut dadaku.

"Mujur aku masih bernafas"!.

4 Comments:

At 3:49 AM, Blogger Ku Keng said...

Salam Lope,

Kemana Batumalai?

 
At 12:00 AM, Blogger loppiess said...

keng,

hahaha, Batumalai sudah pindah Keng, mungkin pindah supaya lebih hampir dengan kuil kerana beliau seorang yang warak.

 
At 2:29 AM, Blogger Bunga Rampai said...

Salam,

Entah siapa guru seninya.

Harus bersyukur walau kadang tu bernafas dalam jerebu.

 
At 5:13 AM, Blogger loppiess said...

ohh jerebu, pergilah engkau, jangan datang lagi.lalala

 

Post a Comment

<< Home