Monday, January 23, 2006

Musim mangga di Karachi

Sampan sampan nelayan yang kecil yang teroleng oleng di buai tarian laut bulan disember menyambut MV Bunga Siantan ketika kapal tangki yang membawa jutaan liter minyak kelapa sawit itu perlahan lahan memudiki laluan ke dermaga pelabuhan Karachi. Pagi masih bening dan kabus masih belum terusir sepenuhnya dari dada laut, dermaga yang memanjang di selang selikan dengan crane crane yang terpacak seperti tangan raksaksa juga masih sebahagiannya sepi, perlahan lahan pintu pintu utama barisan gudang dan selirat paip paip besar mula menerima panahan matahari yang pertama pagi itu. Kelibut sampan dan tug boat dan jerit para stevedore perlahan lahan mula mengerakkan jam hari agar beredar dengan cepat.

Lori lori yang besar dan ganas mula bertempiaran dan tidak lama selepas itu tali MV Bunga Siantan telahpun di lemparkan ke dermaga, bunyi derik rope dan jeritan para kelasi di buritan dan haluan menandakan bila bila masa sahaja kapal tangki minyak yang besar ini akan diikat kemas ke dermaga setelah berminggu membelah lautan, di hempas ombak, di cium oleng gelora atau disinggah camar yang lelah. Di pintu pagar utama pelabuhan, beca beca yang meriah dengan awan larat dan figura bunga bunga bercampera dari segenap sudut, begitu juga bas yang juga penuh ukiran corak dan bunga bunga datang dan berlalu dengan sarat, kepol asap naik keudara hingga di sekitar gate utama, udaranya hitam.

Para pekerja yang hanya berselipar dan menjinjing bekal makanan, dengan baju tradisi Pakistan yg kumal dan wajah mereka yang menyimpan sarat resah datang dan pergi tiada henti hentinya, para tua yang berjanggut menutup dada tidak di pedulikan, penjual kuih muih atau buah mangga juga disapa para kambing yang berkeliaran. Wajah Karachi mula hidup, debu debu naik ke awan sebagai utusan minta Tuhan melihat untuk pertolongan apakah yang wajar.

Inilah kota yang belum siap, seperti juga Kaherah atau Aqabah atau Delhi atau Mumbai, kota ini tertinggal jauh kebelakang. longkang longkang yang trajis, pasar yang mengerunkan atau kita bagai saja melihat sebuah beg yang penuh bom untuk di letupkan.
Sungainya mengalir penuh duka, cuma jaket kulitnya agak murah, atau perhiasan ukiran batu mar marnya yg pelbagai. inilah negara yang budget perangnya mengatasi budget untuk pendidikkan, senapang tentunya lebih penting dari pencil. majority penduduk tidak tahu apakah priority dalam kehidupan. Para politikus menghambakan rakyat dengan sentimen politik yang miskin peradapan. Para rakyat digula-gulakan dengan perjuangan sempit cuma. Semangat marhaen dicerna hanya untuk memercikkan gelora perkelahian yang tak akan usai.

Kerana musim mangga, kami membelinya berkilo kilo. Ketika kapal telah beratus batu nautika dari dermaga Karachi, mangga masih belum habis, manisnya melekat kelidah kami sedangkan pahit kehidupan marhaen di gate pelabuhan atau di pasar besar juga masih melekat dan bagai tak mampu di ubat.

(tulisan ini diulangsiar atas permintaan Imtiyaz).

1 Comments:

At 1:38 AM, Blogger Sya said...

hi loppies.. tak sempat nak baca lagik, hanya meninggalkan jejak kat rumah u yg baru saya jumpa.. salam perkenalan

 

Post a Comment

<< Home