Friday, February 17, 2006

impian

Engko mahu jadi apa bila besar nanti Jai?. Mau jadi pilot!. Apa cita cita mu Agus? Mau jadi majestret!. Engko Kutil?. Mau jadi askar. Engko Dul?. Mau jadi doctor!. Begitu hidup ini. Semua punya cita cita. Mau jadi…!, itu impian yang menyala. Pun ada kalanya bila mau jadi..! tapi tidak punya usha maka impian itu menjadi cuma angan angan. Angan angan cuma impian yg berada di tepi bibir, kata kata yang kemudian di bawa angin sore terbang entah kemana, melayah seperti barangkali oleng daun di bawa angin timur laut. Ia hilang. Tidak kan di temui lagi.

Begitu manusia. Impian cuma pada asalnya untuk menjawab pertanyaan cikgu. Menjawab apa sahaja yang terlintas di kepala yang barangkali hebat untuk di cita citakan. Yang barangkali karier tersohor dan tinggi mutlak. Yang tersanjung. Yang sekelian orang kampung akan terlopong, akan respek yang amat, akan berbondong bondong mengenalkan anaknya Si Siah atau Leha atau Kamariah untuk kalau kalau berguguran rezeki di peristerikan anak kampung yang punya nama.

Impianlah yang pertama Lope!, dari sana engkau melangkah membina jalannya. Engkau lorongkan denai denai, engkau rentas samun dan tarah bukit, engkau landaikan gaung, engkau ratakan gunung, engkau laluilah, jalan dekat dan benar adalah jalan lurus antara dua titik!. Maka dihujung jalan adalah impianmu yang menunggu yang terjelma kemudian dalam bentuk nyata. Itulah kata kata Habib ketika kami menuangkan rehat hari ahad kami ke dalam longkang.

Impian sering saja berlainan. Tetapi impian jika tercapai maka nikmatnya sama sahaja. Sesiapa pun. Agus mahu jadi Majestret, mahu duduk di depan ruang perbicaraan, mahu menjadi orang yang menjatuhkan keputusan. Mahu di panggil Yang Arif yang bila dia masuk ke kamar bicara maka semua malaun malaun yang hadir akan bangun. Tentunya amat berbeza dengan Kutil, yang mahu menembak. Yang mahu berkawat dan yang mahu kelihatan amat segak dengan baju coloreng, peluru di pinggang dan kasut berbunyi..tap..tap..tap. Jai pula mahu terbang di awan. Alangkah bebasnya. Seperti burung. Tidak ada lampu isyarat atau pemandu perodua kelisa yang kuat mencarut.

Maka ushalah yang akan menentukan kecapaian kepada impian. Bruno Manser punya impian agar orang Penan akan terus menjadi Penan sebagaimana layaknya Penan. Joe, kawanku pula punya impian mau jadi seperti Robert Kiyosaki, Ambar kawan backpacker ku dari Indonesia punya impian mahu jelajahi seluruh pelusuk di mayapada ini. Saadon pula mahu kaya seperti Trump. Abdul Sattar mau menjadi maulana tersohor, impiannya antara lain mahu terus keluar berburu pahala bukan saja 40 hari atau 4 bulan malah selama lamanya kalau boleh.

Tidak apa, capailah apa sahaja yang engkau impikan. Kerana bila engkau mencapainya akan datang satu rasa kepuasan yang tidak terhingga…hingga kata kata tidak bisa lagi dapat mengungkap bagaimana penyataanya. Lihat perbezaan impian antara Saadon dan Abdul Sattar. Antara Kutil dan Agus, berbeza bukan? Tetapi nilai apakah yang di impikan itu yang tercerna dari biang biang halus gembira dan rasa ingin yang teramat yang dapat kita mengertikan? Tidak bisa bukan?, nilai itu tersimpan sendiri di sanubari Ambar atau Agus, Saadon atau Bruno Manser. Nilai itu mereka cipta dari sudut tersembunyi jurai jurai otak mereka.

Orang lain tidak akan mengerti. Saadon bisa saja mengatakan Abdul Sattar sebagai bahlol, totok atau kuno. Joe akan mengatakan Bruno sebagai beruk liar yang keterlaluan dan sundal. Tapi taukah kita dunia penuh tenang dan pasrah milik Abdul Sattar? Tahukah Joe yg setiapkali Bruno duduk di atas pokok besar sambil memandang saujana hutan hujan kalbu kasihnya bagai mengalir berlerai lerai kesyahduan? Saadon tidak melihat seperti apa yang Abdul Sattar nampak. Joe hanya nampak warna duit dari property investment sedangkan Bruno melihat lereng bukit yang hijau. Jai melihat lain. Dul melihat lain. Ya lain. Lain bermaksud tidak sama!.

Padaku, punya impian sama pentingnya dengan punya nyawa. Tidak punya impian sama saja seperti ikan koi kuning yang berada di dalam kolam kecilku yang tidak berapa senonoh itu, mereka berenang renang kesana kemari, ke hulu kehilir, ke utara ke selatan tidak punya hala tujuan, arah di tuju dengan mengikut gerak hati sahaja atau di mana di taburkan makanan maka di situlah mereka berkerumun. Kesian.

Maka impian hendaklah di tuliskan dengan terang dan nyata. Ia gol untuk di tuju. Ia landasan yang di bina untuk kita lalu. Ia pahat yang memahat kita. Ia cambuk yg merotan kita. Ia matahari yang menerangi siang kita. Ia bulan untuk malam yang gelap. Ia bintang untuk mengerlipkan harapan.

Impian kita lain lain. Tidak kira bagaimana rupanya. Janji kita punya impian.

3 Comments:

At 6:31 PM, Blogger Ku Keng said...

Aku sewaktu kecil berimpikan mau jadi Hang Tuah. Kalaulah betul-betul jadi, sudah pasti aku menjadi hero dalam PGL. Apakan daya, impian hanya satu mimpi.

Tapi kalu betul-betul Hang Tuah tak mungkin pula mendapat role itu kerana rupaku Melayu totok. Tak seperti bulek.

 
At 11:19 AM, Blogger loppiess said...

begitulah keng, susah nak jumpa Hang Tuah bulek tu...jenuh cari.

tapilah kan...lentok bebenor pulak lah yee..!

 
At 3:47 AM, Blogger Bunga Rampai said...

Salam. Segalanya bermula dengan impian, tuju dan capai impian itu berlandaskan beberapa keutamaan hidup. Orang yang tiada impian adalah orang yang sudah mati ketika hidupnya lagi.

Impian saya? ermm...masih ada dua yang masih jauh untuk digapai...antaranya mahu jadi tuan puteri tapi bukan PGL... hehehehe.

 

Post a Comment

<< Home