masa berangkat tergesa gesa
Sekarang ini masa amat singkat. Habis habis saja zohor ke kiri dan ke kanan memberi salam orang sudah mulai mengaji seperti mahu di laungkan asar pada bila bila masa saja. Berjalan dari surau ke rumah seusai asar, menyiram pohon pohon bunga kertas dan melihat koi kuning berenang bagai tak punya hala tiba tiba orang sudah mulai mengaji qur’an semula, Hj Ton akan azan magrib. Putaran bumi untuk menemukan insyak kepada subuh, subuh kepada zohor, asar kepada magrib amat laju. Kalau duduk termenung di hadapan pohon pohon bunga kertas, bagai mampu saja melihat kelopaknya berkembang perlahan lahan, duri terjojol sedikit demi sedikit dan tanah tanihnya bertukar dari lembab menjadi kering pijar. Jarum jam saat bagai berlari berputar. Kelibut awan yang berarak akan menemukan warna putih dan mendung, hitam yang amat dan kemudian bertukar kepada kuning mega hingga berlabuh menjadi lembayung senja yang suram. Rumput yang menghijau di padang berdiri dengan lajunya hingga hampir di sangka lalang. Lembayung senja yang muram tanpa bertangguh menabirkan hitam penuh di cakrawala. Kemudian hanya gelaplah yang menghuni. Sehingga bening pagi diketuk semula suara orang mengaji qur’an dari surau. Pusingan yang sama.
Hj long hanya mempunyai duduk yang banyak setelah berpuluh puluh tahun menjadi manusia yang menjadi hamba kepada rutin. Menjadi hamba kepada jadual. Menjadi hamba kepada arahan demi arahan. Menjadi hamba kepada mesin perakam waktu hingga Hj Long dulu menjadi percaya bahawa inilah dia kehidupan. Hidup ialah menghirup udara masuk dan keluar dari lubang hidung, makan, berkerja, bersolat dan berjimak. Itu sahajalah teras kehidupan. Namun bila sudah datang dunia yang banyak duduk duduk ini barulah Hj Long tersedar yang hidup bukan cuma itu. Hidup termasuklah melihat ikan koi kuning berenang renang dicelah lumut dan batu batu dan hidup juga termasuklah melihat burung tiak rumah melompat dari ranting ke ranting bunga kertas sebelum terbang ke palang atap garaj dan hilang dalam rimbun daun pinang merah.
Lalu bila ketemu alam hidup yang banyak duduk duduk dan bersendiri ini, Hj Long terasa pula masa beredar terlalu cepat. Bagai baru semalam ketemu Hj Badam di trek jogging atas bukit kemudian pagi tadi Yahaya sms yang Hj Badam telah bertemu malaikat pencabut nyawa di rumahnya ketika sujud yang panjang dalam solat subuh terakhirnya.
Hj Long terasa kini bahawa jelas dia sudah tua. Merasakan masa terlalu singkat dan cepat pula beredar adalah petanda kita ini telah terlalu lama berjalan. Dunia yang kita kejar, yang kita ghairahkan, yang kita dambakan segala siang dan malam adalah dunia yang semakin menjauh. Kemudian…daerah pengakhiran yang sepi yang kian menghampiri saat demi saat di kira tak lekang lekang itu jelas kita lupakan. Lupakan kematian tidak apa tetapi jangan lupakan soalan yang bakal disoal nanti.
Tengahari itu Hj Long tersandar di kerusi rehatnya.
Kemudian dia terlelap.
* * * * * *
Ah Kui pada satu tengahari yang tidak pijar ketika itu duduk di sudut Starbuck sambil orang orang yang lalu lalang tidak peduli telah menyerahkan satu sampul surat berwarna putih kepada Encik Long, Pengarah Jabatan. Isi sampul surat itu ialah tiga puluh ribu wang Malaysia . Encil Long memasukkan sampul surat itu ke dalam diary besarnya yang berwarna hitam. Tiadalah seorang pun yang tahu urusniaga apakah itu. Tidak jua pelayan kedai kopi itu. Tidak jua menteri. Tidak jua Indon yg sedang membasuh lantai. Yang tahu ialah kalbu Encik Long dan sanubari Ah Kui sahaja.
* * * * *
Hj Long tersedar ketika isterinya memanggil. Dia percaya sebentar tadi dia tidak bermimpi. Kenangan lama dan mimpi jelas dua perkara yang tidak sama. Mimpi Cuma cerita yang secara tidak di sedari atau tidak dilakukan atau tidak benar samasekali atau yang secara fizikalnya tidak terjadi tetapi berlaku ketika kita tidur atau dalam kita di luar ingatan yang normal atau luarsedar. Kenangan lama pula ialah sesuatu yang berlaku dahulu, yang benar benar berlaku, yang terjadi secara lahiriah atau secara fizikalnya wujud atau perbuatan yang dilakukan dahulu yang benar benar berlaku..dan kembali terputar samada ketika sedar terlelap atau terjaga…ahhhh, Hj Long kemudian kembali bersandar di kerusi rehatnya. Matanya terkulat kulat.
Alam duduk duduk yang banyak ini adalah alam penyucian. Kalaupun masa terlalu cepat beredar ini kerana barangkali ia penuh dengan aktiviti. Dalam setiap doa selepas sembahyang..dalam 17 kali solat sehari Hj Long tak putus putus meminta ampun kepada Tuhan. Tuhan yang memberi kepada Hj Long segala galanya. Tuhan yang memberi pangkat kepada Encik Long. Tuhan yang memberi nafas kepada Hj Long. Tuhan yang mengembangkan bunga merah kepada bunga bunga kertas di depan pintu pagarnya. Tuhan yang memberi nyawa kepada koi koi kuningnya. Tuhan yang mengambil semula Hj Badam. Tuhan yang menukarkan malam kepada siang dan seterusnya dan Tuhan yang mengantungkan awan teroleng oleng di angkasa bagai gerombolan gabus yang terapung.
“Tuhan, berikan aku lagi masa…untuk aku kembali.”
Azan Zohor kemudian bertali arus mengalir dari padang dan bukit bukit.
5 Comments:
Lop, nasib baik Long @ Hj. Long dapat diperingatkan, ni ada haji-haji lain, buat donno je!
Mas Keng, ke Mekah cuma satu acara orang orang tua menghabihkan duit. Mereka suka berbondong bondong...
Encik Lop. Tanpa izin anda saya telah melinkkan blogsite anda kepada blogsite saya. Jadi sebagai hukuman sukarela saya telah membaca kesemua blog-entry anda. Hai, sakit perut...
Tadi saya dijerkah oleh Hj. Long kerana deruman moto saya telah mengejutkan dia dari lelap. Tak pasai pasai pagi-pagi dah kena marah. Amacam Bro?
aslkum bang chik..huhu..layan gak hj long..dan hj long tu satu watak yg sangat banyak kat bandaraya trengganu..huh..masa muda layan sokmo..dah tua nak jadi imam suro..
Post a Comment
<< Home