Friday, August 25, 2006

Gayah, Siti dan Datuk K

Gayah cepat cepat masak. Kemudian habis saja suara azan magrib di surau dia terus mendirikan solat. Usai usai solat selepas memberi salam ke kiri dan ke kanan tanpa sepotong wirid pun dia meluru ke depan TV. Di TV kelihatan Siti sedang mencium tangan Datuk K.


Gayah tersenyum, ada sebak, ada girang. Perempuan bernama Siti yang tengah di perhatikannya kelihatan amat manis. Perempuan itu lansung tidak mengenalinya tetapi entah kenapa bagai ada tali yang menyambungkan kalbunya ke diri perempuan itu.

Dia sangat istemewa. Senyumnya, nyanyiannya, pakaiannya, kata katanya, wajahnya, lentik bulu matanya, bibirnya dan apa saja yang ada pada dirinya. Dia idola yang wujud sebagai gadis rupawan, yang mengisi hari hari Gayah dengan lagu lagunya yang bagai dilontarkan ke awan, ke bintang, terik suaranya, alunnya bagai berbuai buai diangkasaraya, percik nadanya menyuburkan ladang ladang, iramanya mengembang bunga bunga di taman, begitu Gayah menangkap pesonanya.

Hinggalah pada suatu hari sampai berita yang puterinya itu ketemu lelaki yang jauh lebih tua malah duda pula. Gayah bagai tidak mampu menerimanya. Gayah mahu idolanya harus ketemu putera bujang yang kacak dan kayaraya. Gayah buntu. Kalau boleh Gayah ingin menjadi tukang sihir, menyihirkan segala galanya supaya menjadi seperti mahunya. Gayah mahu berdiri di hujung taman sambil melemparkan bunga bunga dimana idolanya dan putera bujang yang kacak dan gagah di samping sedang menaiki kereta kuda, kelip kelip lampu bertebaran dan mercun kemudian naik keudara membentuk rumpun rumpun cahaya yang beranika warna dan tidak henti hentinya berhamburan. Orang ramai riang ria bertempik sorak sepanjang jalan. Angin bertiup sepoi sepoi, dingin dan hangat.


Gayah kemudian tersedar.
dia hanyalah seorang Gayah sedang idolanya adalah idola.

Tuesday, August 15, 2006

Jobo sudah menang

Dulu jika Mat Lut tidak suka kepada budak2 jahat yang menganggunya atau dia meluat atau dia benci dia akan panggil mereka "Jobo". Jobo ini mungkin membawa maksud 'muka tak tahu malu'atau juga muka mangkuk. Mat Lut juga suka sebut perkataan 'mangkuk ayun'. Begitulah Mat Lut, namanya Mat Lut pun sebab atas cantuman Mat suka melalut, jadi, mereka samasaja.

Menyebut Jobo aku teringat tentang seorang pemenang award pesta filem kategori wanita. Beliau malu bercakap melayu, kerana beliau akan kelihatan bodoh. Alangkah kenanya gelaran jobo ini kepada pemenang tersebut. Ini barulah jobo sebenar benar jobo, tiada lain melainkan jobo belaka.

Malik bercerita kepadaku tentang sakit hatinya kepada pemenang tersebut. Aku memberitahu malik, tidak usah dia bergundah gulana kerana industri filem itu sendiri pun industri penuh noda dan jobo. Penuh dgn orang2 membuka aurat, ramai dengan orang2 yang ditangkap bersekedudukkan kemudian dipuja2 semula, apakah lagi yang kita mahu. Di dalam drama2 melayu pula, orang2 berjubah dan berserban biasanya menjadi orang2 jahat yang mengamalkan ajaran sesat dan mencabul perempuan. Budak2 kecil terdidik dengan ketakutan dan anti kepada sunnah Nabi tersebut hasil drama2 dan filem2 melayu. Cerita bilal pegang anjing dan lelaki terlondeh kain, perempuan berkemban dan percampuran lelaki perempuan yang tiada batasan di angkat menjadi cerita terbaik dan menang berbagai award, lihat bagaimana industri itu sendiri memenangkan kekufuran kononnya atas nilai mutu yang tinggi dan punya seni yang hebat, apa lagi yang kita mahu dari industri filem?.

Memang jobo. Orang2 jobo kian mendapat tempat dalam dunia masakini. Mat Lut, engkau dan aku sudah ketinggalan. Jobo, rupa rupanya sudah jadi trend hari ini. Orang sudah bangga menjadi jobo. Jobo sudah menang !!!

Monday, August 14, 2006

dan musim pun berangkat.

Telah begitu lama aku tidak bertandang di warung Pak Lah. Telah begitu lama bermakna telah hampir tujuh ke lapan bulan. Lama tidak bertandang kerana telah tumbuh seperti cendawan restoran restoran baru di sekitar Lembah Subang ini. Lebih mudah ke restoran2 baru tersebut kerana senang untuk memparkir pick up yang besar yang kami bawa. Sementelah di kawasan flat kos rendah Lembah Subang ini sangat sempit kawasan lalulalangnya. Kiri kanan penuh kereta, jika nasib tidak baik harus kita tersekat di tengah tengah semberono kereta yg di parkir di kiri kanan laluan.

Pak Lah sekarang kelihatan begitu kurus. Ketika aku duduk di bangku berhampiran pohon Puding yang rendang, angin semilir bertiup seulas seulas membelai wajah kami. Persekitaran flat kos rendah ini kelihatan semakin daif, buaian telah putus rantainya dan di simpulkan saja. Gelonsor mainan telah rabak. Papan jongkang jongket terbaring saja, di sisi laman, lalang tumbuh. Beberapa helai baju yang lusuh tersangkut di atas tiang lampu yang barangkali jatuh dari tingkat 16.

"Pak Lah tak beberapa sihat, minggu lepas empat malam tidur di wad, kata mereka kencing manis Pak Lah tinggi".

"kemudian selang beberapa hari Pak Lah sekali lagi tidur di wad kerana kekurangan gula pula".

"Alhamdullilah Lope, Tuhan memberi peringatan, Pak Lah sangat bersyukur".

"Dulu Pak Lah tidak sedar, tidak bersolat, tidak bersyukur, asyik di warung ini hingga azan magrib Pak Lah masih dengan kuali dan mee, azan insyak Pak Lah asyik membancuh tea tarik dan nescafe ais, azan subuh Pak Lah bergulung di dalam selimut, tidak hirau apa pun".

"sekarang Pak Lah barangkali telah mula sedar, kau lihatlah Lope, warung Pak Lah ini mula sepi semenjak restoran restoran baru di buka, kemudian Pak Lah tidur di wad bermalam malam, sakit segala sendi dan saraf, sedikit sedikit keadaan berubah, Pak Lah kehilangan ramai pelanggan, Pak Lah kehilangan juga kesihatan".

"atas semua ini tak sudah sudah Pak Lah bersyukur Lope, Pak Lah masih boleh berjalan dan terbongkok bongkok sujud, Tuhan sayang akan Pak Lah kerana sakit ini datang mengejutkan Pak Lah dari leka".

"kita rupa rupanya sangat leka dengan lajunya kehidupan dan kita ini tak habis habis di perkudakan untuk beroleh lebih dan lebih, hingga kita lupa apalah semua itu sebenarnya kerana hidup ini sangat pendek, Tuhan meminjamkan kita dunia ini, sekarang Pak Lah sudah 50 tahun hidup, cuma barangkali 10 tahun atau lebih sedikit yang tinggal, apa lagi yang Pak Lah kejar sebenarnya?".

"Lope, Pak Lah sangat bersyukur, rupanya kunci kebahagiaan itu adalah bersyukur Lope, ya, bersyukur, bersyukur atas sakit, bersyukur atas senang, bersyukur atas kesusahan, bersyukur atas rahmat, bersyukur atas kepayahan kerana setiap sesuatu itu Tuhan bagi bersama kebaikkan".

Kemudian azan asar pun berkumandang dari Surau Solehin. Pak Lah bangun, mencapai sebotol minyak atar yang kecil, menyapukan di kedua dua belakang lengannya dan menyapukan ke seluruh depan bajunya.

Petang semakin surut. Burung burung berterbangan di atas pohon pohon puding. Bau minyak atar Pak Lah kemudian hilang di balik balik blok rumah pangsa kos rendah Lembah Subang. Sayup sayup terdengar bilal Surau Solehin qamat..marilah bersembahyang..marilah bersembahyang..marilah menuju kejayaan.