Thursday, January 26, 2006

masa berangkat tergesa gesa

Sekarang ini masa amat singkat. Habis habis saja zohor ke kiri dan ke kanan memberi salam orang sudah mulai mengaji seperti mahu di laungkan asar pada bila bila masa saja. Berjalan dari surau ke rumah seusai asar, menyiram pohon pohon bunga kertas dan melihat koi kuning berenang bagai tak punya hala tiba tiba orang sudah mulai mengaji qur’an semula, Hj Ton akan azan magrib. Putaran bumi untuk menemukan insyak kepada subuh, subuh kepada zohor, asar kepada magrib amat laju. Kalau duduk termenung di hadapan pohon pohon bunga kertas, bagai mampu saja melihat kelopaknya berkembang perlahan lahan, duri terjojol sedikit demi sedikit dan tanah tanihnya bertukar dari lembab menjadi kering pijar. Jarum jam saat bagai berlari berputar. Kelibut awan yang berarak akan menemukan warna putih dan mendung, hitam yang amat dan kemudian bertukar kepada kuning mega hingga berlabuh menjadi lembayung senja yang suram. Rumput yang menghijau di padang berdiri dengan lajunya hingga hampir di sangka lalang. Lembayung senja yang muram tanpa bertangguh menabirkan hitam penuh di cakrawala. Kemudian hanya gelaplah yang menghuni. Sehingga bening pagi diketuk semula suara orang mengaji qur’an dari surau. Pusingan yang sama.

Hj long hanya mempunyai duduk yang banyak setelah berpuluh puluh tahun menjadi manusia yang menjadi hamba kepada rutin. Menjadi hamba kepada jadual. Menjadi hamba kepada arahan demi arahan. Menjadi hamba kepada mesin perakam waktu hingga Hj Long dulu menjadi percaya bahawa inilah dia kehidupan. Hidup ialah menghirup udara masuk dan keluar dari lubang hidung, makan, berkerja, bersolat dan berjimak. Itu sahajalah teras kehidupan. Namun bila sudah datang dunia yang banyak duduk duduk ini barulah Hj Long tersedar yang hidup bukan cuma itu. Hidup termasuklah melihat ikan koi kuning berenang renang dicelah lumut dan batu batu dan hidup juga termasuklah melihat burung tiak rumah melompat dari ranting ke ranting bunga kertas sebelum terbang ke palang atap garaj dan hilang dalam rimbun daun pinang merah.

Lalu bila ketemu alam hidup yang banyak duduk duduk dan bersendiri ini, Hj Long terasa pula masa beredar terlalu cepat. Bagai baru semalam ketemu Hj Badam di trek jogging atas bukit kemudian pagi tadi Yahaya sms yang Hj Badam telah bertemu malaikat pencabut nyawa di rumahnya ketika sujud yang panjang dalam solat subuh terakhirnya.

Hj Long terasa kini bahawa jelas dia sudah tua. Merasakan masa terlalu singkat dan cepat pula beredar adalah petanda kita ini telah terlalu lama berjalan. Dunia yang kita kejar, yang kita ghairahkan, yang kita dambakan segala siang dan malam adalah dunia yang semakin menjauh. Kemudian…daerah pengakhiran yang sepi yang kian menghampiri saat demi saat di kira tak lekang lekang itu jelas kita lupakan. Lupakan kematian tidak apa tetapi jangan lupakan soalan yang bakal disoal nanti.

Tengahari itu Hj Long tersandar di kerusi rehatnya.
Kemudian dia terlelap.


* * * * * *

Ah Kui pada satu tengahari yang tidak pijar ketika itu duduk di sudut Starbuck sambil orang orang yang lalu lalang tidak peduli telah menyerahkan satu sampul surat berwarna putih kepada Encik Long, Pengarah Jabatan. Isi sampul surat itu ialah tiga puluh ribu wang Malaysia . Encil Long memasukkan sampul surat itu ke dalam diary besarnya yang berwarna hitam. Tiadalah seorang pun yang tahu urusniaga apakah itu. Tidak jua pelayan kedai kopi itu. Tidak jua menteri. Tidak jua Indon yg sedang membasuh lantai. Yang tahu ialah kalbu Encik Long dan sanubari Ah Kui sahaja.


* * * * *

Hj Long tersedar ketika isterinya memanggil. Dia percaya sebentar tadi dia tidak bermimpi. Kenangan lama dan mimpi jelas dua perkara yang tidak sama. Mimpi Cuma cerita yang secara tidak di sedari atau tidak dilakukan atau tidak benar samasekali atau yang secara fizikalnya tidak terjadi tetapi berlaku ketika kita tidur atau dalam kita di luar ingatan yang normal atau luarsedar. Kenangan lama pula ialah sesuatu yang berlaku dahulu, yang benar benar berlaku, yang terjadi secara lahiriah atau secara fizikalnya wujud atau perbuatan yang dilakukan dahulu yang benar benar berlaku..dan kembali terputar samada ketika sedar terlelap atau terjaga…ahhhh, Hj Long kemudian kembali bersandar di kerusi rehatnya. Matanya terkulat kulat.

Alam duduk duduk yang banyak ini adalah alam penyucian. Kalaupun masa terlalu cepat beredar ini kerana barangkali ia penuh dengan aktiviti. Dalam setiap doa selepas sembahyang..dalam 17 kali solat sehari Hj Long tak putus putus meminta ampun kepada Tuhan. Tuhan yang memberi kepada Hj Long segala galanya. Tuhan yang memberi pangkat kepada Encik Long. Tuhan yang memberi nafas kepada Hj Long. Tuhan yang mengembangkan bunga merah kepada bunga bunga kertas di depan pintu pagarnya. Tuhan yang memberi nyawa kepada koi koi kuningnya. Tuhan yang mengambil semula Hj Badam. Tuhan yang menukarkan malam kepada siang dan seterusnya dan Tuhan yang mengantungkan awan teroleng oleng di angkasa bagai gerombolan gabus yang terapung.

“Tuhan, berikan aku lagi masa…untuk aku kembali.”
Azan Zohor kemudian bertali arus mengalir dari padang dan bukit bukit.

Monday, January 23, 2006

Musim mangga di Karachi

Sampan sampan nelayan yang kecil yang teroleng oleng di buai tarian laut bulan disember menyambut MV Bunga Siantan ketika kapal tangki yang membawa jutaan liter minyak kelapa sawit itu perlahan lahan memudiki laluan ke dermaga pelabuhan Karachi. Pagi masih bening dan kabus masih belum terusir sepenuhnya dari dada laut, dermaga yang memanjang di selang selikan dengan crane crane yang terpacak seperti tangan raksaksa juga masih sebahagiannya sepi, perlahan lahan pintu pintu utama barisan gudang dan selirat paip paip besar mula menerima panahan matahari yang pertama pagi itu. Kelibut sampan dan tug boat dan jerit para stevedore perlahan lahan mula mengerakkan jam hari agar beredar dengan cepat.

Lori lori yang besar dan ganas mula bertempiaran dan tidak lama selepas itu tali MV Bunga Siantan telahpun di lemparkan ke dermaga, bunyi derik rope dan jeritan para kelasi di buritan dan haluan menandakan bila bila masa sahaja kapal tangki minyak yang besar ini akan diikat kemas ke dermaga setelah berminggu membelah lautan, di hempas ombak, di cium oleng gelora atau disinggah camar yang lelah. Di pintu pagar utama pelabuhan, beca beca yang meriah dengan awan larat dan figura bunga bunga bercampera dari segenap sudut, begitu juga bas yang juga penuh ukiran corak dan bunga bunga datang dan berlalu dengan sarat, kepol asap naik keudara hingga di sekitar gate utama, udaranya hitam.

Para pekerja yang hanya berselipar dan menjinjing bekal makanan, dengan baju tradisi Pakistan yg kumal dan wajah mereka yang menyimpan sarat resah datang dan pergi tiada henti hentinya, para tua yang berjanggut menutup dada tidak di pedulikan, penjual kuih muih atau buah mangga juga disapa para kambing yang berkeliaran. Wajah Karachi mula hidup, debu debu naik ke awan sebagai utusan minta Tuhan melihat untuk pertolongan apakah yang wajar.

Inilah kota yang belum siap, seperti juga Kaherah atau Aqabah atau Delhi atau Mumbai, kota ini tertinggal jauh kebelakang. longkang longkang yang trajis, pasar yang mengerunkan atau kita bagai saja melihat sebuah beg yang penuh bom untuk di letupkan.
Sungainya mengalir penuh duka, cuma jaket kulitnya agak murah, atau perhiasan ukiran batu mar marnya yg pelbagai. inilah negara yang budget perangnya mengatasi budget untuk pendidikkan, senapang tentunya lebih penting dari pencil. majority penduduk tidak tahu apakah priority dalam kehidupan. Para politikus menghambakan rakyat dengan sentimen politik yang miskin peradapan. Para rakyat digula-gulakan dengan perjuangan sempit cuma. Semangat marhaen dicerna hanya untuk memercikkan gelora perkelahian yang tak akan usai.

Kerana musim mangga, kami membelinya berkilo kilo. Ketika kapal telah beratus batu nautika dari dermaga Karachi, mangga masih belum habis, manisnya melekat kelidah kami sedangkan pahit kehidupan marhaen di gate pelabuhan atau di pasar besar juga masih melekat dan bagai tak mampu di ubat.

(tulisan ini diulangsiar atas permintaan Imtiyaz).

Friday, January 20, 2006

tengkujuh

Dari pipi langit air mata duka berjatuhan di bumi membasahkan kebun dan ladang sekangkang penoreh sedih kerana disember ini anak-anaknya perlu buku dan baju akan kerna bersekolah di tahun baru . dari gumpalan awan ribut berpuput menerjah lautan di dada segara itu nelayan terduga di atas kolek rezeki tak bergolek tenggiri dan kerisi tak menjadi rezeki sayap disember ini menghantar iktibar . dari tiupan angin hujan berguguran melimpahlah sawah melaut air bah anak –anak padi lemas dan mati di dangau sepi merenung petani pada ujian tuhan menghadapi masa depan .

Dari langit tuhan tengkujuh jatuh melebat ketaqwaan .



loppiess
Pulau Kalong.

Monday, January 16, 2006

tersedar dari koma

memandangkan danchan sudah tersedar dari koma, tuan tuan boleh melenggangkangkunglah ke sana....
http://www.danchan.com/weblog/loppiess

Friday, January 13, 2006

Pak Cik Ariel

Telahpun heboh seantero dunia. Pak Cik Ariel telah masuk ke alam sunyi. Alam yang benar benar sunyi. Bukan sunyi kerana ketidakhadiran riuh, bukan. Sunyi ini adalah sunyi yang amat, sunyi bangat. Sunyi sesunyi sunyinya, tidak ada yang lebih senyap dari ini. Sunyi ini sunyi total. Terbaring di alam sunyi ini Pak Cik Ariel juga tidak mampu melihat kerana mata terkatup rapat. Bukan tidak mahu membuka mata tetapi tidak dapat, tidak ada gesa, tidak ada perintah dari otak untuk membuka mata, tiada command, tiada yang menyuruh, tiada…tiada total. Di alam sunyi ini juga Pak Cik Ariel tidak mendengar…tidak mendengar walau seurat libas angin pun, walau kiut besi katil atau gerak selimut atau detak nafas sendiri atau apa apa pun..tidak, tidak mendengar samasekali…pekak total. Alam sunyi ini amat sunyi. Telah hampir sepuluh hari Pak Cik Ariel berpindah ke alam sunyi ini. Dia amat berehat. Terlentang di bilik Hotel Hadassah yang tenang dan terang. Dis sisi katilnya penuh dengan mesin mesin yang berbagai bentuk, banyak wayar wayar yang bersilangseli dan monitor komputer yang memaparkan berbagai gelombang. Bunyi bunyi mesin tersebut bersimponggang dengan luyur detak nafasnya yang kadang kadang seperti kerbau dan ada kalanya seperti nafas cicak saja barangkali.

Alam sunyi ini Pak Cik Ariel masuki dengan kesakitan yang tiada tandingnya. Dia jatuh pada suatu pagi ketika mesyuarat negara Tak Berdaulat hampir sampai ke penghujungnya. Kejatuhan itu mengakibatkan pendarahan yang teruk di selirat urat yang seperti usus lembu di otaknya. Sudah tiga kali para pakar ( yg paling pakar diantara segala pakar ) membuat pembedahan di system yg seperti usus lembu tersebut namun hasilnya hampa belaka. Si tua yang gemok, boroi dan hodoh pula itu tetap diam. Tetap berdiam di alam sunyinya.

Cerita di alam sunyi:
Inilah alam sunyi total. Bayangan berpuluh tahun dulu datang bagai babak babak wayang pegun yang beserta suara. Berpuluh ribu mayat mayat yang mengerikan datang satu persatu dengan kuku yang amat tajam menghampiri Pak Cik Ariel. Mereka juga membawa anak anak kecil yang berlubang kepalanya dan pak cik lumpuh yang berkerusi roda. Mereka membawa segengam tanah juga. Mereka membawa batu batu dan lastik. Mareka membawa jentolak dan kereta kebal. Pak Cik Ariel terus di gilis dengan kereta kebal yang berantai tersebut..sakitnya tidak terkira tetapi terus hidup. Kemudian Lapan biji bom di ikat ke badan Pak Cik Ariel lalu di letupkan. Berkecai tertebar di angkasa segala usus dan urai urai daging. Jatuh dan tubuh Pak Cik Ariel kembali bercantum. Kemudian Pak Cik Ariel melalui khemah khemah yang sepi. Beribu mayat bergelimpangan di antaranya ialah para bayi yang berlubang di dada, perempuan tua berkepala hancur dan lelaki muda yang disembelih lehernya. Mayat mayat tersebut tiba tiba hidup dan semua mata mereka tertumpu kepada Pak Cik Ariel, mereka bangun perlahan lahan…mereka menjerit, “ inilah manusia yang mengarahkan pembunuhan kita!”..mereka semua menghampiri Pak Cik Ariel, mereka merobek jantung dan segenap rongga tubuh Pak Cik Ariel..Pak Cik Ariel menjerit dengan kesakitan yang amat.

Tiba tiba Hotel Hadassah gempar.
Negara Tak Berdaulat juga gempar.
Jauh di pinggir Taheran sorak sorai bergema…..
Mereka menjerit….anjing itu telah mati!

Wednesday, January 04, 2006

Mat Da

Mat Da duduk di muka tangki besar kapal MV Taruna. Riuh dan bingit berdecit decit para pencuci tangki turun naik petak tangki dengan wajah penuh kumal membawa sisa minyak yang berkeladak seperti hampas yang teroleng oleng di muka laut. Kalau sisa minyak kelapa sawit tidak apa tapi kalau kimia berat yang merbahaya agak harus lebih hati hati. Ketua pencuci tangki, biasanya Deraman orang Bachok tahu meter harus di masuk kan ke tangki tiga kali, kalau bunyi beep beepnya memang lunak maknanya ada gas racun masih tertampung di dasar tangki. Dulu, ketika itu di Pasir Gudang dua orang nelayan Tok Bali yang bertukar menjadi pencuci tangki kapal bertemu malaikat pencabut nyawa di dasar tangki kerana kerosakkan meter pengukur gas beracun. Semenjak itu agen pencuci tangki membekalkan tiga buah meter kepada Deraman, kalau ketiga tiga meter senyap sunyi barulah Mat Da dan gerombol pencuci boleh turun ke tangki kapal. Mat Da seronok bersiul di bawah sana kerana gemanya kembali ke dasar sebelum melantun ke penutup petak dan kembali tersasar ke dasar.

Dari atas dek Mat Da melilau menikmati rembang petang disisi laut ini. Crane yang terpacak nun di Sembawang sayup sayup kelihatan legam dan diam. Barge pembawa cement dan arangbatu berulang alik antara Pasir Gudang dan Tanjung Pagar. Awan jelas bersih dan angin yang longlai membawa hanyir laut tertebar di sekian tong tong kecil yang terjunkit dan tenggelam di buai oleng selat yang muram.

Mat Da mengeluarkan buku kecilnya dan menulis sesuatu :

Senah, kalau kau bersama ku ketika rembang ini surut di bawa hari, sama sama kita memerhati camar yang melayah........, berjauhan ini bukan hukuman Senah tapi kita membina lubuk impian buat di bentuk kapal melayar kehidupan.....

Laungan Deraman tidak disambut Mat Da.

Tuesday, January 03, 2006

masa berubah. tahun berganti layaknya bagai berganti siang dan malam sahaja. pusing pusing tidur dan makan kemudian dengan solat yang sedikit tapi lebih kepada bernyanyi nyanyi. tidaklah di sedari buah butir lagu apa. sekonyongnya kemudian bertempik sorak. tidak faham atau Maamor tidak berkisah sangat. tahun tahu tahu sudak berganjak dalam sorak sorai. kapal yang pergi belayar sudah sampai semula ke pelabuhan. lama benarkah pemergiannya hingga pelaut pelaut telah begitu kumal dengan janggut dan jambang yang bersepah?. Maamor bukan tidak sedar atau hanyut dalam nafsu seninya yang berguguran, Maamor sedar tentang waktu yang beredar kerana ada senja kemudian pagi dan berulang semula menemukan senja. masa rupanya kawan perjalanan hidup ini. akan sama sama dewasa dan tua. akan sama sama menemukan titik untuk berhenti. titik yang tidak memungkinkan untuk berjalan semula di alam nyata ini.kalau pun boleh berjalan..ya..berjalan di alam lain pula, berjalan yang lain.

Maamor sedar yang amat akan masa yang sentiasa berjalan ini. tidak peduli akan dirinya..masa tak pedulikan sesiapapun..tidak peduli samaada ada orang orang tercicir atau orang orang yang berhenti..dia jalan terus..terus tidak memandang..tidak..ya..tidak simpati! tidak peduli dan tidak simpati sama saja.

bagai semalam saja Maamor menerima kad tertulis selamat tahun baru dari Mr Colon, kemudian hari ini sekeping kad lagi sampai dengan ayat yang sama. Selamat Tahun Baru namun Maamor amat sedar bahawa ia semakin lama..semakin tua..semakin menghampiri titik untuk berhenti. Maamor mencapai kalamnya dan ia menulis :

aku tertinggal bersama semalam
ketika awan jatuh untuk musim baru
nyanyian semakin tidak kedengaran

Maamor kemudian berhenti menulis...dia memegang dadanya.
di luar angin bertiup masih perlahan dan tiak rumah tak henti henti menyanyi.